
Ulasan: Sederhana Tapi Memukau... Baga Berani Angkat Luka Masyarakat Dalam Keindahan Sinema!
By Kamaruddin Razal | November 6, 2026, 5:13 AM
Tidak semua filem perlu hadir dengan cerita yang besar untuk meninggalkan kesan mendalam. Ada kalanya, kisah manusia biasa, dengan segala kekurangan, kesilapan dan perjuangan hidupnya, sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir.
Itulah antara kekuatan Baga: Esok Untuk Siapa, filem debut arahan Ariff Zulkarnain yang memilih untuk bercerita tentang kehidupan tanpa perlu berselindung di sebalik formula komersial yang terlalu biasa.
Berlatarbelakangkan sebuah perkampungan nelayan di Pantai Timur, Baga membawa penonton menyelami kehidupan Jani dan Melur, dua anak muda yang berdepan pilihan sukar dalam usaha membina masa depan bersama.

Namun, di sebalik kisah cinta tersebut, tersimpan persoalan lebih besar tentang kemiskinan, ketagihan dadah, tekanan masyarakat dan bagaimana satu keputusan mampu mengubah seluruh kehidupan seseorang.
Baga mungkin sebuah kisah sederhana, tetapi kesederhanaan itulah yang memberikan kekuatan kepada penceritaannya.
Antara Nilai Seni & Komersial
Satu perkara yang menarik tentang Baga ialah keberaniannya untuk tampil berbeza, tetapi pada masa sama tidak terlalu jauh meninggalkan cita rasa penonton umum.
Filem ini mempunyai sentuhan sinema yang kuat melalui penceritaan, visual dan perkembangan karakternya. Namun, Ariff bijak memastikan unsur tersebut tidak menjadikan Baga terlalu berat atau sukar difahami.
Dalam erti kata lain, Baga berjaya mencari titik tengah antara pendekatan filem seni dengan keperluan hiburan komersial.
Penonton yang gemarkan karya dengan penceritaan lebih mendalam boleh menghargai lapisan emosinya, manakala penonton arus perdana masih mampu mengikuti jalan cerita tanpa perlu mentafsir setiap babak secara berlebihan.
Keseimbangan ini penting kerana tidak semua karya yang membawa isu berat perlu disampaikan dengan pendekatan yang rumit.
Ariff sebaliknya membiarkan cerita berkembang secara semula jadi, dengan emosi yang tidak dipaksa dan beberapa babak yang cukup berbicara melalui visual tanpa memerlukan dialog panjang.
Selepas memperlihatkan keupayaannya menerusi One Cent Thief dan Good Boys Go To Heaven, penampilan sulung Ariff sebagai pengarah filem cereka menerusi Baga memperlihatkan satu lagi tahap kematangan dalam bahasa penceritaannya.

Watak Yang Tidak Sempurna, Tetapi Terasa Hidup
Kekuatan sesebuah filem bukan hanya terletak pada ceritanya, tetapi juga bagaimana pelakon mampu menjadikan karakter yang dicipta terasa seperti manusia sebenar.
Menerusi watak Jani, Amir Ahnaf sekali lagi membuktikan kemampuannya membawa karakter yang kompleks dan sarat dengan konflik dalaman.
Jani bukan watak yang mudah untuk disukai. Ada ketika tindakannya mengundang kemarahan, namun pada masa lain, penderitaan yang dilaluinya membuatkan penonton memahami mengapa dia memilih jalan tertentu.
Amir berjaya mengimbangi pelbagai perasaan tersebut tanpa menjadikan lakonannya berlebihan.
Bukan sesuatu yang keterlaluan untuk mengatakan persembahan Amir menerusi Baga mempunyai kekuatan yang layak diberikan perhatian pada musim anugerah filem tempatan.

Begitu juga Amirah Razak yang membawakan watak Melur. Lakonannya cukup bersahaja, namun mempunyai kedalaman emosi yang menjadikan hubungan antara kedua-dua karakter lebih meyakinkan. Baga melahirkan Amirah sebagai pelapis baharu pelakon wanita yang wajar diberi perhatian.
Cech Adrea sebagai Ajih pula memberikan persembahan yang wajar dipuji, terutama apabila mengambil kira Baga merupakan pengalaman pertamanya membintangi filem cereka layar lebar.
ARTIKEL BERKAITAN: Dari Belakang Tabir Ke Filem Baga, Cech Adrea Anggap Seni Sebagai Makanan Jiwa
Bagi penulis yang mengenali Cech sebagai rakan sekelas dalam bidang penyiaran di UiTM Shah Alam, menyaksikan seorang pembikin filem yang selama ini aktif di belakang tabir tampil dengan lakonan begitu meyakinkan memberikan kepuasan tersendiri.
Tidak kurang hebatnya bakat baharu, Idham Maulana sebagai Pok Cech yang berjaya menghidupkan karakter antagonis dengan cukup berkesan.
Kepercayaan Ariff terhadap barisan pelakon yang belum begitu dikenali dalam arus perdana menjadi satu lagi kekuatan Baga. Mereka tidak sekadar melengkapkan barisan pelakon, tetapi benar-benar diberikan ruang untuk menyerlah.
Isu Dadah Yang Tidak Wajar Dipandang Ringan
Di sebalik keindahan visual dan kekuatan lakonan, Baga turut mengetengahkan realiti penyalahgunaan dadah, khususnya pil kuda, yang menjadi sebahagian penting daripada konflik kehidupan Jani.
Isu tersebut bukan sekadar digunakan untuk mencetuskan ketegangan, tetapi turut memperlihatkan bagaimana ketagihan, kesempitan hidup dan keputusan yang salah boleh membawa kesan terhadap hubungan serta masa depan seseorang.
Walaupun berlatarbelakangkan Terengganu, persoalan yang diketengahkan sebenarnya lebih luas dan tidak terbatas kepada masyarakat di negeri berkenaan.

Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 191,832 individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta menjalani rawatan dan pemulihan direkodkan di seluruh negara sepanjang 2025.
Walaupun angka itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, penyalahgunaan dadah kekal sebagai cabaran sosial yang memerlukan perhatian.
Justeru, Baga boleh dilihat bukan sekadar sebuah kisah cinta berlatarbelakangkan Pantai Timur, tetapi juga peringatan tentang realiti yang masih berlaku dalam masyarakat.
Menariknya, Ariff tidak menjadikan filem ini seperti sebuah ceramah tentang bahaya dadah. Sebaliknya, penonton diberikan ruang untuk menyaksikan sendiri bagaimana pilihan yang dibuat oleh Jani membawa akibat kepada kehidupannya.
Di sinilah kekuatan sebuah karya seni apabila isu masyarakat dapat disampaikan melalui penceritaan yang dekat dengan emosi manusia, tanpa perlu terlalu mengajar.
Kisah Sederhana, Kesan Yang Luar Biasa
Dari sudut teknikal, Baga turut menyerlah melalui sinematografi yang indah, terutama dalam merakam suasana dan kehidupan masyarakat Pantai Timur.
Penggunaan lagu Suci Dalam Debu pula memberikan sentuhan nostalgia yang cukup kena dengan emosi serta perjalanan cerita.
Namun, kelebihan terbesar Baga tetap terletak pada kejujurannya dalam bercerita.
Dalam landskap perfileman yang sentiasa mencari kelainan untuk menarik perhatian penonton, Ariff memilih untuk tidak terlalu mengejar sesuatu yang gah.
Sebaliknya, dia memberikan kepercayaan kepada kekuatan cerita, pelakon dan bahasa visual untuk menghidupkan sebuah kisah tentang manusia biasa.
Hasilnya, Baga muncul sebagai antara naskhah tempatan yang cukup meninggalkan kesan sepanjang 2026.

Bukan kerana filem ini cuba menjadi terlalu besar, tetapi kerana ia memahami bahawa kisah kecil juga mempunyai ruang untuk menyampaikan sesuatu yang bermakna.
Baga mungkin berakhir apabila layar menjadi gelap, tetapi persoalan tentang cinta, kesilapan dan masa depan manusia tidak semestinya terhenti di situ.
Dan barangkali, itulah tanda sebuah karya yang berkesan. Ceritanya selesai ditonton, tetapi rasanya masih tertinggal.
Baga: Esok Untuk Siapa terbitan Indigo Films, dengan kerjasama Skop Productions selaku pengedar serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran, kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.



