
Di Sebalik Lagu Teruskanlah, Ada Air Mata & Perjuangan Hazreen Amreena
By Kamaruddin Razal | November 6, 2026, 4:46 AM
Ada air mata yang tidak pernah jatuh di hadapan orang lain. Ada penat yang sengaja disembunyikan, bukan kerana tidak mahu berkongsi, tetapi kerana terlalu biasa menjadi tempat orang lain bersandar.
Dalam hidup, ada kalanya seseorang perlu terus kelihatan kuat, walaupun jauh di sudut hati, dirinya sendiri sedang bergelut untuk bertahan.
Begitulah sebahagian daripada kisah yang diterjemahkan penyanyi baharu Hazreen Amreena menerusi single terbaharunya, Teruskanlah, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Shiha Zikir.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu tentang semangat, Teruskanlah sebenarnya lahir daripada pengalaman peribadi Hazreen sebagai anak sulung, termasuk perasaan lelah, pengorbanan dan tanggungjawab terhadap insan tersayang.
Di Sebalik Senyuman, Ada Air Mata Yang Disembunyikan
Bagi Hazreen, 29, lagu tersebut mempunyai makna cukup mendalam kerana sebahagian daripada penceritaannya mencerminkan perjalanan hidup sendiri.
Berbeza dengan karya terdahulu yang berkisar tentang percintaan, kali ini dia memilih untuk berkongsi kisah perjuangan yang mungkin pernah dilalui ramai orang.
Lagu Teruskanlah memang berbeza penceritaannya. Kalau sebelum ini saya hanya ada lagu cinta, tapi kali ini ia membawa mesej tentang perjuangan dalam hidup.
Kita semua ada perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang.
Menurut Hazreen, ada perasaan yang terpaksa dipendam supaya dirinya terus kelihatan kuat di hadapan keluarga, walaupun hakikatnya dia juga mempunyai saat-saat sukar.
Pengalaman itulah yang kemudian menjadi antara inspirasi utama penghasilan lagu berkenaan.

Tangisan Dalam Bilik Jadi Inspirasi Shiha Zikir
Menariknya, Teruskanlah bukan sekadar lagu yang diberikan kepada Hazreen untuk dirakam, sebaliknya lahir daripada perbualan jujur antara dirinya dengan Shiha.
Sebelum memulakan proses penulisan, Shiha terlebih dahulu bertanya tentang pengalaman hidup dan mesej yang ingin disampaikan penyanyi naungannya itu.
Hazreen kemudian berkongsi hasrat untuk memiliki lagu yang mengangkat kisah anak sulung atau individu yang bekerja keras demi keluarga, tetapi tidak mempunyai ruang untuk meluahkan keletihan sendiri.
Malah, satu pengakuan Hazreen mengenai kebiasaannya menangis sendirian di dalam bilik ketika bersedih turut diterjemahkan menjadi lirik lagu tersebut.
Sewaktu menulis lagu ini, saya banyak tanya soalan kepada Hazreen. Katanya, dia mahu lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung sebab kadang-kadang dia sendiri rasa penat tapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga.
Saya tanya bagaimana cara dia luah perasaan, menurutnya, ketika sedang sedih dia suka duduk dalam bilik dan menangis.
Menurut Shiha, pengalaman tersebut kemudian diolah menjadi sebahagian daripada penceritaan Teruskanlah.
Bagaimanapun, mesej lagu itu tidak hanya ditujukan kepada anak sulung, sebaliknya kepada sesiapa sahaja yang memikul tanggungjawab dan berusaha mencari rezeki untuk orang tersayang.

Perjuangan Hazreen Dalam Dunia Seni Belum Selesai
Di sebalik kisah kehidupan yang menjadi inspirasi lagu, Teruskanlah turut membawa makna tersendiri terhadap perjalanan kerjaya Hazreen.
Sebagai penyanyi yang masih membina nama, dia mengakui pernah melalui saat mahu berputus asa dalam usaha mengejar impian seni.
Namun, perasaan tersebut tidak dijadikan alasan untuk berhenti mencuba.
Lagu ini saya tujukan kepada diri saya sendiri dan sesiapa yang berjuang dalam hidup mereka.
Macam saya sendiri, saya masih berusaha mencapai impian saya dalam bidang seni ini, tipulah kalau tak pernah nak give up, tapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan.
Sementara itu, Shiha mengakui berpuas hati dengan perkembangan Hazreen yang disifatkannya mempunyai disiplin dan kesungguhan untuk memperbaiki kemampuan diri.
Selain menyanyi, Hazreen turut diberikan peluang mencuba bidang lakonan dan penghasilan kandungan media sosial bagi menambah pengalaman.
Bagi Shiha, perjalanan membina kerjaya tidak semestinya perlu berlaku dengan pantas, apatah lagi dalam industri yang semakin banyak menilai kejayaan berdasarkan populariti dan pengaruh di media sosial.
Tak mengapa… biar perlahan asalkan terus berusaha kerana rezeki itu kurniaan Allah.

Teruskanlah, Walaupun Langkah Masih Perlahan
Mesej perjuangan yang menjadi tunjang lagu ini turut diterjemahkan menerusi muzik videonya.
Menurut Shiha, penggunaan lilin yang hampir terpadam melambangkan seseorang yang tetap berusaha memberikan cahaya kepada insan tersayang, manakala lautan pula menggambarkan gelombang kehidupan yang perlu ditempuhi.
Simbolik tersebut seakan-akan menggambarkan perjalanan Hazreen sendiri yang masih berusaha mencari tempat dalam industri muzik.

Barangkali, itulah kekuatan sebenar Teruskanlah. Ia bukan sekadar meraikan mereka yang berjaya mengharungi kesukaran, tetapi turut memberikan ruang kepada mereka yang masih bertarung dengan perjuangan masing-masing.
Kerana tidak semua yang tersenyum sedang bahagia, dan tidak semua yang kelihatan kuat sebenarnya tidak pernah menangis.
Ada yang sedang mengejar impian, ada yang memikul tanggungjawab keluarga, dan ada juga yang masih mencari sebab untuk terus bertahan.
Dalam pada itu, Teruskanlah merupakan hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia, dengan Shiha bertindak sebagai komposer serta penulis lirik.

Lagu tersebut sudah tersedia di platform penstriman digital sejak 3 November 2026, manakala muzik video arahannya bersama Arul turut dilancarkan di YouTube.
Akhirnya, di sebalik sebuah lagu yang mengajak pendengar untuk terus melangkah, tersimpan kisah seorang penyanyi yang juga sedang belajar untuk tidak mengalah.



