
Dari Belakang Tabir Ke Filem Baga, Cech Adrea Anggap Seni Sebagai Makanan Jiwa
By Kamaruddin Razal | November 4, 2026, 3:41 AM
Tidak semua yang berada di belakang kamera menyimpan impian untuk menjadi bintang di hadapannya. Ada yang lebih selesa mencipta cerita, membentuk watak dan melihat hasil karya mereka dihidupkan oleh orang lain.
Begitulah perjalanan Cech Adrea, pengarah, penulis dan pembikin filem independen yang kini melangkah ke layar perak menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain.
Menerusi naskhah tersebut, Cech membawakan watak Ajih, sekali gus memberikan pengalaman berbeza buat penggiat seni yang selama ini lebih banyak menghabiskan masa di belakang tabir.
Namun, bagi Cech, sama ada menjadi pengarah atau pelakon, kedua-duanya tetap mempunyai satu persamaan iaitu kecintaannya terhadap seni yang dianggap sebagai makanan jiwa.
Dari Belakang Kamera Ke Layar Perak
Ketika ditemui XTRApedia pada malam gala filem Baga baru-baru ini, Cech mengakui pengalaman membintangi filem cereka buat pertama kali memberikan kepuasan tersendiri.
Menurutnya, peluang membawakan watak Ajih hadir selepas Ariff menghubunginya untuk terlibat dalam projek berkenaan.
Cech percaya pengarah itu sudah lama memerhatikan perkembangan kerja dan bakat individu yang ingin dibawanya ke dalam sesebuah produksi.
Apa yang menarik, pengalaman berada di hadapan kamera membuatkan Cech lebih menghargai peranan pasukan produksi dalam membentuk sesebuah persembahan lakonan.
Selalunya saya yang mengarahkan orang lain, tetapi kali ini orang pula yang mengarahkan saya. Pengalaman itu memang berbeza, tetapi sangat menyeronokkan.
Menurut Cech, kejayaan menghidupkan watak Ajih bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut dibantu Ariff, jurulatih lakonan dan seluruh tenaga produksi yang terlibat.
Malah, dia turut memuji komitmen Amir Ahnaf yang banyak berkongsi babak dengannya sepanjang penggambaran.
Cech berkata, mereka menjalani latihan bersama sekitar sebulan atau lebih sebelum penggambaran, sekali gus membantu membina keserasian antara kedua-dua watak.
Amir sangat memberikan sokongan. Dia seorang yang mudah bekerjasama dan banyak memberi ketika berlakon bersama saya.
Kalau sesuatu babak itu belum menjadi seperti yang diinginkan, dia akan terus berusaha sehingga mendapat hasil yang terbaik.

Bukan Nama Baharu Dalam Dunia Pembikinan Filem
Di sebalik penampilan sulungnya dalam filem cereka sebagai pelakon, Cech sebenarnya sudah mempunyai perjalanan tersendiri sebagai pengkarya.
Anak kelahiran Kelantan itu merupakan graduan jurusan Komunikasi Massa Penyiaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang aktif dalam dunia penulisan, teater dan pengarahan filem pendek.
Antara pencapaiannya termasuk menerima anugerah Best Director dan Best Newcomer menerusi Short+Sweet Malaysia Festival 2023.
Filem pendek arahannya, Garek pula pernah memenangi Special Jury Prize di Mini Film Festival 2023 serta Gold Prize di Horizon Short Film Festival 2023.
Satu lagi karya arahannya, Marini, turut mencatat pencapaian apabila menerima Audience Choice Award di Blackpool Short Film Festival dan terpilih menyertai festival antarabangsa termasuk Bali International Film Festival.
Lebih membanggakan, Marini yang mengangkat kisah seorang remaja perempuan bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional turut dipilih untuk program pendidikan filem Cinema and Images for School Programmes (CIPS) di Itali pada 2026.
Di luar dunia pengarahan, Cech turut terlibat dalam usaha membimbing kanak-kanak dalam bidang lakonan serta inisiatif pembikinan filem komuniti, Street Film School.
Pencapaian tersebut memperlihatkan perjalanan Cech sebagai seorang pengkarya yang terus mencari ruang untuk menyampaikan cerita melalui pelbagai medium.
Garek Raih Pengiktirafan Antarabangsa
Dalam perkembangan lain, Cech turut berkongsi mengenai projek filem cereka berjudul Garek yang sudah dibangunkan bersama isterinya sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Projek tersebut meraih pengiktirafan Forum Filmmaker Award pada Asia Pacific Screen Awards 2026 yang diberikan kepada penerbit Haziqah Azemi.
Menurut Cech, projek tersebut masih dalam fasa pembangunan dan pengiktirafan berkenaan menjadi antara perkembangan bermakna dalam perjalanan menghasilkan filem cereka sendiri.
Malah, dia turut dijadualkan menyertai Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) Market bagi memperluaskan peluang dan jaringan industri untuk karya yang sedang dibangunkan.
Walaupun Baga membuka ruang baharu dalam bidang lakonan, Cech mengakui dirinya masih belum benar-benar melihat lakonan sebagai identiti utama kerjayanya.
Sebenarnya, saya tidak begitu meletakkan diri sebagai seorang pelakon. Jadi, peluang seperti ini memang agak jarang buat saya.
Bagaimanapun, Cech tidak menolak kemungkinan menerima tawaran lakonan lain pada masa hadapan, termasuk drama televisyen, sekiranya tertarik dengan kekuatan naskhah serta pendekatan pembikinannya.
Baginya, perkara paling penting bukanlah medium atau skala sesebuah produksi, tetapi nilai karya yang ingin disampaikan kepada penonton.

Seni Sebagai Makanan Jiwa
Bagi Cech, pengalaman menghasilkan karya sendiri mahupun menghidupkan cerita orang lain tetap memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
Lebih daripada soal populariti atau kedudukan dalam industri, dia percaya seni merupakan sebahagian daripada kehidupan yang tidak mampu dipisahkan daripada dirinya.
Akhirnya, kita tetap berkarya kerana cintakan seni. Tidak kira apa pun yang kita lakukan, semuanya kembali kepada seni.
Bagi saya, seni adalah makanan jiwa. Saya tidak boleh melakukan perkara lain selain berkarya.
Malah, Cech percaya penghasilan karya turut memberikan peluang untuk seseorang penggiat seni memahami pelbagai karakter dan pengalaman manusia yang kemudiannya diterjemahkan menerusi penceritaan.
Jiwa perlu diberi makan.
Barangkali, perjalanan Cech memperlihatkan bahawa kejayaan seorang anak seni tidak semestinya diukur melalui sejauh mana wajahnya dikenali khalayak.
Kerana bagi sesetengah pengkarya, kepuasan sebenar bukan terletak pada siapa yang berdiri di hadapan kamera, tetapi pada cerita yang berjaya dihidupkan.

Baga Temui Penonton 5 November
Dalam pada itu, Cech tampil menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa, sebuah drama jenayah arahan Ariff Zulkarnain yang turut dibintangi Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su, Kimal Mokhtar dan Idham Maulana.
Filem terbitan Indigo Films Sdn. Bhd. dengan kerjasama SKOP Productions Sdn. Bhd. selaku pengedar serta Primeworks Studios Sdn. Bhd. sebagai rakan pemasaran itu mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan pilihan sukar dua anak muda yang berdepan realiti kemiskinan serta kancah dadah.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan lakonan Cech sebagai Ajih dalam Baga: Esok Untuk Siapa yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 November 2026.



