
#TipsXTRA: Kena Reject 'Casting'? Ini Pesanan Qistina Khaled - 'Biar Orang Bercakap, Jangan Sampai Hilang Percaya Diri'
By Aqilah Paharuzi | October 16, 2026, 7:20 PM
Penolakan dalam sesi uji bakat atau casting bukan bermakna impian untuk bergelar pelakon perlu terhenti. Sebaliknya, pengalaman tersebut boleh dijadikan pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri dan mengejar cita-cita.
Itu antara nasihat yang dikongsikan pelakon, Qistina Khaled, buat individu yang berhasrat untuk menceburi industri seni, khususnya dalam bidang lakonan.
Jangan Cepat Mengalah
#TipsXTRA merupakan segmen yang mengetengahkan perkongsian, nasihat serta pandangan selebriti mengenai kehidupan, kerjaya, hubungan dan pembangunan diri yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.
Menerusi segmen #TipsXTRA minggu ini, Qistina mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai rezeki masing-masing dan tidak seharusnya terlalu kecewa sekiranya gagal memperoleh sesuatu watak selepas menghadiri sesi uji bakat.
Untuk sesiapa yang nak masuk audition atau casting untuk menjadi seorang pelakon, katakanlah kena reject, tak perlu rasa down.
Percaya saja rezeki semua orang dah ditetapkan. Mungkin belum dipilih sekarang, tapi nanti.
Dalam masa sama, Qistina turut menasihatkan mereka yang masih mencari peluang dalam industri lakonan agar memanfaatkan tempoh tersebut untuk menimba ilmu, mengasah bakat dan meningkatkan kemampuan diri.
Ambil masa dan peluang untuk belajar lagi supaya dapat berikan yang terbaik.
Jadi Versi Terbaik Diri Sendiri, Jangan Peduli Kata Orang
Bukan hanya tertumpu kepada kerjaya lakonan, Qistina turut menitipkan pesanan mengenai kepentingan mengenali nilai diri dan tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang sekeliling.
Menurutnya, setiap individu perlu mengutamakan perkembangan diri sendiri dan berusaha menjadi lebih baik tanpa perlu membandingkan perjalanan hidup dengan orang lain.
Apa pun nak buat dalam kehidupan sendiri, fikir satu saja iaitu jadi versi diri sendiri yang baik. Fikir apa yang terbaik untuk diri sendiri, bukan orang lain. Orang nak cakap apa, biarkan.
Malah, Qistina turut menggalakkan mereka yang pernah dipandang rendah agar menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuan diri.
Buktikan kepada mereka yang memandang rendah pada awak.
Perkongsian Qistina itu menjadi peringatan bahawa penolakan bukanlah pengakhiran kepada sesuatu impian, sebaliknya peluang untuk terus belajar, memperbaiki kelemahan dan membina keyakinan diri.
Apa yang penting, jangan mudah menyerah kalah hanya kerana belum mendapat peluang yang diimpikan kerana setiap kejayaan mempunyai perjalanan dan waktunya yang tersendiri.



