
#SkoolXTRA: Intan Ladyana Dedah Perangai Zaman Sekolah, Aktif Jadi Cheerleader - 'Pernah Kena Cubit Perut Dengan Cikgu'
By Aqilah Paharuzi | October 21, 2026, 4:38 PM
Siapa sangka, pelakon jelita Intan Ladyana rupa-rupanya pernah bergelar cheerleader ketika zaman persekolahan, malah turut aktif menyertai pertandingan gimnastik!
Aktif Cheerleader
Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui peminat.
Mengimbau kembali kenangan di bangku sekolah menerusi segmen #SkoolXTRA minggu ini, Intan mengakui dirinya bukanlah tergolong dalam kalangan pelajar yang terlalu cemerlang dalam akademik, namun tetap aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Saya seorang pelajar biasa-biasa saja. Dulu saya cheerleader dekat sekolah, jadi memang fokus buat cheerleading masa hari sukan. Ada juga keluar menyertai pertandingan gimnastik.
Dari segi akademik dan kokurikulum, dua-dua saya aktif.
Suka Mata Pelajaran Sejarah
Bercerita mengenai pencapaian akademik pula, Intan mendedahkan subjek Sejarah merupakan mata pelajaran kegemarannya sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang.
Bagaimanapun, pelakon itu mengakui Matematik menjadi antara subjek paling mencabar buat dirinya ketika di sekolah.
Subjek kegemaran saya Sejarah, dapat A+. Paling susah pula Matematik, memang dapat markah rendah.
Dalam pada itu, Intan turut mendedahkan sisi nakalnya apabila mengakui pernah beberapa kali menerima hukuman daripada guru gara-gara malas menyiapkan kerja sekolah.
Malah, antara hukuman yang masih diingatinya sehingga kini adalah apabila perutnya dicubit oleh guru.
Saya selalu kena denda sebab rasa malas nak buat kerja sekolah. Pernah kena cubit perut dengan cikgu.



