
POV XTRA: Senior Atau Junior, Fasha Sandha Percaya Disiplin Penentu Kerjaya Seni
By Naufal Zarir | November 3, 2026, 7:42 PM
Pengalaman bertahun-tahun dalam industri seni pastinya memberikan kelebihan kepada seseorang pelakon. Namun, adakah status sebagai pelakon senior bermakna mereka boleh mengambil mudah soal disiplin?
Dalam dunia lakonan, sikap profesional bukan hanya dituntut daripada pendatang baharu, malah turut menjadi tanggungjawab mereka yang sudah lama membina nama.
Bagi pelakon popular berbakat, Fasha Sandha, disiplin perlu sentiasa dijaga tanpa mengira usia, pengalaman atau kedudukan seseorang dalam industri kerana perkara itu turut memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan kerjaya seni.
Senior Atau Junior, Disiplin Tetap Sama
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA kali ini, Fasha yang terkenal dengan sikap menepati masa berkongsi pandangannya mengenai kepentingan disiplin dalam kalangan pelakon, khususnya mereka yang sudah lama bertapak dalam industri.

Disiplin itu adalah satu kemestian. Tak kiralah umur berapa pun, disiplin tetap kena jaga. Tak kira berapa pun umur, walau usia anda muda atau tua, kalau anda dalam industri ni, anda kena jaga disiplin.
Menurut Fasha, tempoh pengalaman bukanlah alasan untuk seseorang pelakon mengabaikan sikap profesional ketika bekerja.
Sebaliknya, sama ada pelakon baharu mahupun berpengalaman, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk memberikan komitmen terbaik dalam setiap produksi.
Bakat Sahaja Belum Menjamin Kejayaan
Dalam pada itu, Fasha turut menekankan bakat dan disiplin merupakan dua perkara yang perlu bergerak seiring.
Bakat dan disiplin, dua-dua penting sebab kalau ada bakat tak disiplin pun takkan ke mana. Dia akan di situ sahaja. Jadi, pada saya kena seiring.
Bagi pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2017 ini, seseorang mungkin mempunyai bakat lakonan yang besar, namun tanpa disiplin, potensi tersebut sukar dikembangkan.

Justeru, pengalaman dan kebolehan perlu disertakan dengan sikap bertanggungjawab supaya seseorang pelakon dapat terus memperbaiki mutu kerja serta mengekalkan profesionalisme dalam industri.
Hormati Masa, Hormati Rakan Sekerja
Menyentuh soal ketepatan masa, Fasha mengakui kelewatan seseorang pelakon ke lokasi penggambaran boleh menjejaskan emosi dan persediaan rakan pelakon lain.
Boleh ganggu mood, sebab setiap artis dia ada masa dia yang dia dah tetapkan. Jadi, kalau dia nak kita hormat dia, dia kena hormat masa kita juga.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, setiap pelakon mempunyai jadual dan komitmen tersendiri yang perlu dihormati.

Dalam sesebuah produksi yang melibatkan ramai pihak, disiplin bukan sekadar soal hadir tepat pada waktunya, tetapi juga mencerminkan rasa hormat terhadap masa dan tanggungjawab orang lain.
Pandangan Fasha memperlihatkan senioriti bukanlah ukuran disiplin seseorang, sebaliknya sikap profesional perlu terus dipelihara sepanjang perjalanan kerjaya.
Fasha Sandha Terus Jadi Pilihan Gardenia NuMee
Dalam perkembangan lain, Fasha yang ditemui pada acara Gardenia NuMee baru-baru ini turut diumumkan kekal sebagai duta jenama berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut, manakala adiknya, pelakon Elisya Sandha pula diperkenalkan sebagai Rakan Jenama.
Menurut Eksekutif Pemasaran Gardenia NuMee, Ida Nadiana Buang, kesinambungan kerjasama bersama Fasha mencerminkan keserasian pelakon itu dengan nilai kekeluargaan yang diketengahkan jenama berkenaan.

Penglibatan Elisya pula diharap dapat mendekatkan Gardenia NuMee dengan generasi muda menerusi pelbagai kandungan digital dan aktiviti bersama pengguna.
Kerjasama dua beradik itu juga bakal diteruskan menerusi inisiatif digital dan kandungan media sosial yang mengetengahkan momen harian bersama keluarga, termasuk aktiviti menyediakan makanan serta meluangkan masa dengan insan tersayang.
Pada masa sama, Gardenia NuMee turut memberikan perhatian kepada rangkaian Signature yang merangkumi perisa Tom Yam dan Laksa Kari.
Jenama berkenaan juga merancang memperkenalkan pelbagai idea resipi kreatif menggunakan rangkaian produknya bagi menggalakkan pengguna meneroka cara penyediaan hidangan mengikut cita rasa masing-masing.



