Selepas Bertahun Memperjuangkan Irama Malaysia, Apa Makna Kebangkitan Semula Buat Noraniza Idris?

Selepas Bertahun Memperjuangkan Irama Malaysia, Apa Makna Kebangkitan Semula Buat Noraniza Idris?

By Kamaruddin Razal | November 4, 2026, 3:07 AM

Ada nama yang mungkin tidak selalu menghiasi carta muzik atau pentas hiburan, namun sumbangan mereka tidak pernah benar-benar terpadam daripada ingatan.

Begitulah perjalanan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang sejak sekian lama memperjuangkan muzik tradisional, biarpun selera pendengar dan landskap industri terus berubah mengikut zaman.

Kini, pada usia 58 tahun, penyanyi yang mesra disapa Kak Ani itu kembali meraih perhatian menerusi lagu Salam Kaut serta penampilannya dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Namun, di sebalik sambutan yang diterima, apakah makna sebuah kebangkitan semula buat penyanyi yang tidak pernah berhenti memperjuangkan seni warisan?

Bukan Mahu Bersaing, Tetapi Rindu Menyanyi

Ketika ditemui XTRApedia pada Festival Akar Kita Zapin 2026 baru-baru ini, Noraniza mengakui tidak menyangka lagu terbaharunya, Salam Kaut menerima sambutan menggalakkan sehingga melepasi 600,000 tontonan ketika temu bual berlangsung.

Lagu ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik nukilan Fedtri Yahya itu menjadi antara karya yang memperkenalkan semula suara Noraniza kepada pendengar, termasuk generasi muda.

Menariknya, Noraniza menjelaskan kemunculan lagu berkenaan bukan bertujuan untuk bersaing dengan penyanyi lain atau mengembalikan kegemilangan Irama Malaysia seperti dahulu.

Sebaliknya, keinginan untuk kembali merakamkan lagu hadir daripada rasa rindu terhadap dunia nyanyian yang cukup dekat dengan jiwanya.

Saya bukannya nak buat persaingan atau nak buat Irama Malaysia macam dulu untuk bertanding. Saya memang rindu. Sebagai penyanyi, kita ni rindu.

Lebih menyentuh hati, Noraniza turut berkongsi pengalaman apabila kanak-kanak yang menyertai program kebudayaannya tidak lagi mengenali siapa dirinya.

Situasi itu membuatkannya sedar tentang kepentingan menghasilkan karya baharu supaya muzik dan perjuangannya terus dekat dengan generasi pelapis.

Malah, dia terhibur apabila ada kanak-kanak mula mengenalinya menerusi melodi Salam Kaut sebelum menggunakan lagu tersebut dalam persembahan tarian.

NoranizaIdris_2.jpg

Masih Terkejut Dengan Penerimaan Peminat

Biarpun ada yang menyifatkan tahun 2026 sebagai tahun 'comeback' untuk dirinya, Noraniza mengakui masih cuba memahami perhatian dan penghargaan yang diterima.

Apatah lagi penampilannya dalam Gema Bumantara turut mengundang pujian, sekali gus mengembalikan nostalgia peminat terhadap karya-karya Irama Malaysia yang pernah dipopularkannya.

Comeback tu, saya sampai sekarang rasa macam blur-blur sikit. Blur bukan masalah apa, macam seronok, eh, ramai pula orang tengok lagu ni.

Dalam kegembiraan tersebut, Noraniza tidak menafikan wujud perasaan bimbang apabila semakin banyak pujian diberikan kepadanya.

Menurutnya, dia lebih selesa menjalani kehidupan dengan tenang dan berharap peminat terus menerima dirinya seadanya tanpa meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Baginya, sambutan yang hadir hari ini merupakan satu penghargaan terhadap perjalanan seni yang telah dibina selama bertahun-tahun.

NoranizaIdris_3.jpg

Masih Ada Impian Yang Belum Tertunai

Di sebalik perhatian yang kembali diterima, Noraniza sebenarnya sudah mula memikirkan tentang perjalanan kerjayanya pada masa hadapan.

Menurutnya, suami pernah menyuarakan hasrat agar dia berhenti menyanyi dan memberikan lebih perhatian kepada kehidupan peribadi.

Bagaimanapun, Noraniza bersyukur kerana masih diberikan ruang untuk menyempurnakan beberapa impian seni yang belum tercapai.

Antaranya termasuk menghasilkan album Irama Malaysia dan mengadakan konsert sendiri sebelum suatu hari nanti memilih untuk memperlahankan langkah dalam industri.

Pada masa sama, Noraniza juga tidak terlalu bimbang tentang masa depan muzik tradisional kerana melihat semakin ramai penyanyi muda mempunyai kemampuan untuk meneruskan perjuangan tersebut.

Dia turut menyebut nama Wany Hasrita, Mimi Fly, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Aina Abdul dan Aisha Retno sebagai antara penyanyi yang mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengangkat elemen muzik budaya.

Bagi Noraniza, generasi baharu tidak semestinya perlu mengikut sepenuhnya pendekatan penyanyi terdahulu, sebaliknya boleh memperkenalkan Irama Malaysia melalui kreativiti masing-masing.

NoranizaIdris_4.jpg

Perjuangan Seni Tidak Pernah Terhenti

Hakikatnya, perjuangan Noraniza terhadap seni tradisional bukan hanya berlangsung di atas pentas hiburan.

Menerusi Festival Akar Kita Zapin 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di AEON Mall Alpha Angle, Kuala Lumpur dari 30 Oktober hingga 1 November lalu, pelantun lagu Hatinya Tak Tahan ini meneruskan usaha amal budaya yang digerakkan sejak 2010.

Festival musim keenam anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama AEON Co. (M) Bhd. itu membuka ruang pembelajaran zapin secara percuma bersama pewaris seni, selain menghimpunkan 300 peserta terpilih dalam Kejohanan Peningkah Laga Terbaik — Juara VS Juara Peringkat Kebangsaan.

Bagi Noraniza, inisiatif sebegini bukan sekadar memperkenalkan gerak tari, tetapi turut mendidik generasi muda tentang disiplin, kesantunan dan nilai budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.

Barangkali, kebangkitan semula Noraniza bukan hanya tentang lagu yang kembali mendapat perhatian atau pentas yang sekali lagi membuka ruang buatnya.

Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk menyambung perjuangan yang tidak pernah terhenti, agar Irama Malaysia terus mempunyai tempat dalam hati generasi hari ini dan masa hadapan.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Anugerah Tanpa Cahaya

Anugerah Tanpa Cahaya

Purina Felix Cat Fashion Week

Purina Felix Cat Fashion Week

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

Neraka Yang Terhijab

Neraka Yang Terhijab

Hilang Dalam Rindu

Hilang Dalam Rindu

BLEACH: Thousand-Year Blood War

BLEACH: Thousand-Year Blood War

Selepas Bertahun Memperjuangkan Irama Malaysia, Apa Makna Kebangkitan Semula Buat Noraniza Idris? | Article | XTRApedia