
Sebelum Jadi Artis, 5 Selebriti Ini Rupanya Pernah Bergelar Pendidik
By Naufal Zarir | November 2, 2026, 2:33 AM
Apabila bercakap tentang selebriti, perkara pertama yang terlintas sudah pastinya dunia lakonan, nyanyian atau pengacaraan.
Namun siapa sangka beberapa wajah popular tanah air pernah bergelar seorang pendidik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang hiburan.
XTRApedia senaraikan lima selebriti yang bergelar pendidik sebelum terjun ke bidang seni.
1. Sherry Alhadad

Sebelum bergelar seorang pelakon dan pengacara yang sering menghiburkan dalam setiap program televisyen, Sherry Alhadad mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan sebagai tenaga pengajar.
Sherry pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang seni persembahan termasuk ketika dia berada di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sherry juga pernah bergelar sebagai guru tadika sebelum namanya semakin dikenali dalam industri hiburan.
Dalam sebuah temubual, Sherry mengenang memorinya menjadi seorang tenaga pengajar di ASWARA merupakan satu pengalaman yang sangat menghiburkan.
2. Allahyarhamah Adibah Noor

Sebelum menjadi seorang penyanyi dan pelakon terkenal, Adibah Noor pernah bergelar sebagai guru bahasa Inggeris.
Adibah yang merupakan seorang graduan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah mengajar di sekolah yang terletak di Petaling Jaya dan Taman Keramat, Kuala Lumpur. Dia pernah menjadi guru selama beberapa tahun sebelum menceburi bidang seni.
3. Namie Smy

Nama Najmi Shahrudin atau lebih dikenali sebagai Namie Smy mula dikenali sejak terlibat dalam bidang komedi, lakonan dan pencipta kandungan media sosial.
Sebelum mencipta nama dalam bidang hiburan, Namie pernah berkhidmat sebagai guru sekolah. Dia mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Muzik di IPG Kampus Tuanku Bainun pada tahun 2019. Dia kemudiannya mengajar di Sekolah Kebangsaan Serting Ulu.
Namie yang terkenal di media sosial sering menggunakan loghat Negeri Sembilan sebagai konten. Namie mula aktif dalam dunia komedi selepas menyertai Muzikal Lawak Superstar bersama kumpulan Ubi, selain mencuba bakat dalam bidang lakonan serta nyanyian.
4. Shah Iskandar

Pelakon asal Singapura, Shah Iskandar pernah melalui pengalaman sebagai seorang guru sebelum serius dalam bidang lakonan. Shah pernah bekerja sebagai guru di Rainbow Centre, sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak autisme.
Shah dilaporkan mengajar selama kira-kira setahun sebelum memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut selepas menerima peluang dalam bidang hiburan.
Kini, nama Shah lebih sinonim dengan lakonan, namun pengalaman sebagai seorang pendidik pastinya menjadi antara fasa penting dalam perjalanan kerjayanya.
5. Puteri Aishah

Pelakon Puteri Aishah pula mempunyai latar belakang pendidikan yang mungkin tidak diketahui oleh semua peminat. Sebelum memberi tumpuan kepada dunia lakonan, Puteri pernah mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan.
Mempunyai diploma dalam bidang Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Puteri pernah berkhidmat sebagai guru pelatih di sebuah sekolah rendah. Foto Puteri pernah tular pada tahun 2014 dan ketika itu, dia dikenali sebagai Cikgu Aishah.
Kini, Puteri lebih sinonim dengan dunia lakonan dan sering menghiasi kaca televisyen menerusi pelbagai watak.
Bukan Sekadar Bergelar Selebriti
Lima nama ini membuktikan bahawa perjalanan kerjaya seseorang tidak semestinya bermula dan berakhir dalam satu bidang sahaja.
Daripada berada di dalam kelas, berkongsi ilmu dan berinteraksi dengan pelajar, mereka kemudiannya menempa nama dalam dunia hiburan dengan cara masing-masing.
Menariknya, pengalaman dalam bidang pendidikan juga boleh menjadi satu kelebihan kerana kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri dan kemampuan berinteraksi dengan orang ramai amat penting dalam industri seni.



