#POVXTRA: Duit Banyak Bukan Lesen Untuk Boros! Iman Troye Pilih Disiplin, Perbelanjaan Bulanan Ada Had

#POVXTRA: Duit Banyak Bukan Lesen Untuk Boros! Iman Troye Pilih Disiplin, Perbelanjaan Bulanan Ada Had

By Aqilah Paharuzi | October 27, 2026, 11:37 AM

Mempunyai pendapatan sendiri pada usia muda mungkin memberikan kebebasan untuk membeli apa sahaja yang diinginkan, namun berbeza pula dengan penyanyi, Iman Troye yang lebih selesa mengamalkan disiplin kewangan demi mengelakkan pembaziran.

Biarpun sudah mampu menjana pendapatan sendiri menerusi kerjaya seni, Iman mendedahkan dia tetap mempunyai had perbelanjaan bulanan yang perlu dipatuhi bagi memastikan wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Malah, sekiranya terlebih berbelanja pada sesuatu bulan, penyanyi berkenaan perlu mengurangkan peruntukan pada bulan berikutnya sebagai langkah mengawal kewangannya.

Artikel Berkaitan: #ThrowbackXTRA: Raih Pendapatan RM2.5 Juta Pada 2025, Iman Troye Binakan Keluarga Rumah, Beli Kereta Untuk Ayah

Artikel Berkaitan: #TipsXTRA: Kejar Impian Jangan Sampai Hilang Diri, Iman Troye Pesan Minta Restu Mak Ayah – ‘Hargai Mereka Selagi Ada’

Perlu Ada Simpanan, Jangan Boros & Pelaburan

POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.

Menerusi segmen #POVXTRA hari ini, Iman berkongsi tiga perkara penting yang dipelajarinya sejak mula mempunyai pendapatan sendiri, iaitu menabung, mengelakkan pembaziran dan membuat pelaburan.

Tiga benda saya belajar selepas dah ada income sendiri adalah wang simpanan, jangan boros dan pelaburan. Ini sangat penting, salah satu tanggungjawab yang sangat besar.

Saya sangat beruntung sebab ada mak saya. Dia adalah finance saya sendiri.

Bagi Iman, disiplin dalam berbelanja bukan sekadar mengetahui jumlah wang yang dimiliki, sebaliknya memahami batas kemampuan serta mengelakkan diri daripada terlalu mengikut kehendak.

Justeru, pelantun lagu Teman itu tidak kisah apabila ibunya menetapkan had perbelanjaan setiap bulan, malah menganggap pendekatan berkenaan sebagai satu kebiasaan yang sudah diamalkan sejak dahulu.

Dalam saya berbelanja itu, mak saya juga akan tetapkan had untuk setiap bulan.

Kalau saya terlebih berbelanja dalam satu bulan itu, mak saya akan cakap bulan depan kena kurangkan belanja.

Dari dulu memang dah praktikkan macam ini.

Dalam pada itu, Iman mengakui antara kebimbangan terbesarnya apabila mempunyai pendapatan sendiri adalah kemungkinan berbelanja secara berlebihan tanpa menyedari jumlah wang yang telah digunakan.

Atas sebab itu, dia lebih mempercayai ibunya untuk menguruskan kewangan, termasuk mengendalikan simpanan dan pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Saya tak pernah pegang duit saya sampai sekarang, memang saya beri sepenuhnya kepada mak saya sebab saya lagi percayakan mak saya.

Kalau saya nak beli apa-apa, saya akan minta dan tanya mak saya. Orang akan cakap, ‘Itu kan duit sendiri, kenapa perlu tanya?’ Tak. Ini duit mak saya.

Sebab saya takut nanti saya boros, saya tak sedar saya habiskan duit banyak. Mak saya juga selesaikan investment ASB dan seangkatan dengannya.

Perkongsian Iman memperlihatkan bagaimana kebebasan kewangan tidak semestinya bermaksud seseorang boleh berbelanja tanpa batasan, sebaliknya perlu disertai perancangan serta disiplin yang konsisten.

Walaupun setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan pendapatan, pendekatan Iman turut membuka perspektif mengenai kepentingan membina tabiat kewangan yang sihat sejak usia muda.

Apatah lagi, dalam dunia yang sering mengaitkan kejayaan dengan gaya hidup mewah, memilih untuk mengehadkan perbelanjaan juga boleh menjadi satu bentuk tanggungjawab terhadap masa depan.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Anugerah Tanpa Cahaya

Anugerah Tanpa Cahaya

Purina Felix Cat Fashion Week

Purina Felix Cat Fashion Week

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

Neraka Yang Terhijab

Neraka Yang Terhijab

Hilang Dalam Rindu

Hilang Dalam Rindu

BLEACH: Thousand-Year Blood War

BLEACH: Thousand-Year Blood War

#POVXTRA: Duit Banyak Bukan Lesen Untuk Boros! Iman Troye Pilih Disiplin, Perbelanjaan Bulanan Ada Had | Article | XTRApedia