
POV XTRA: 'Wanita Yang Dah Berkahwin & Berkeluarga Pun Berhak Ada Kerjaya, Kenapa Perlu Wujud Double Standard?' – Farah Nabilah
By Aqilah Paharuzi | October 14, 2026, 3:14 PM
Tanggungjawab sebagai seorang ibu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan kemampuan wanita membina kerjaya, apatah lagi apabila mereka turut memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi keluarga.
Bagaimanapun, isu mengenai komitmen wanita berkeluarga di tempat kerja kembali menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads mencadangkan agar majikan tidak mengambil golongan berkenaan sebagai pekerja kerana didakwa boleh menyusahkan rakan sekerja lain.
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.

Pelakon, Farah Nabilah menyifatkan pandangan yang menganggap wanita berkeluarga sebagai beban di tempat kerja sebagai satu bentuk layanan berat sebelah atau double standard terhadap golongan berkenaan.
Menurut Farah, wanita juga mempunyai hak untuk membina kerjaya sendiri dan tidak sepatutnya dipandang serong hanya kerana memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Bagi saya benda itu double standard, wanita pun berhak untuk bekerja, ada kerjaya. Benda itu sebenarnya boleh give and take. Jadi kenapa kalau dia MC sekejap? Jadi seorang ibu itu sebenarnya sangat indah.
Farah berkongsi pandangan tersebut menerusi segmen POV XTRA minggu ini ketika diminta mengulas mengenai hantaran seorang pengguna Threads yang meminta majikan tidak mengambil wanita berkeluarga sebagai pekerja kerana didakwa boleh menyusahkan rakan sekerja lain.
Dalam pada itu, Farah tidak menafikan tanggungjawab menguruskan anak adakalanya boleh memberi kesan terhadap komitmen kerja seseorang wanita.
Bagaimanapun, dia berpendapat situasi tersebut perlu dilihat dengan lebih terbuka memandangkan golongan ibu mempunyai tanggungjawab tambahan yang berbeza berbanding lelaki.
Jadi saya rasa kenapa nak kena ada double standard? Tak dinafikan apabila dah ada anak ini memang akan mengganggu kerja sedikit, kena MC kadangkala dan sebagainya.
Tapi bagi saya kalau wanita nak bekerja, peraturan bagi mereka itu tak boleh sama dengan lelaki.
Malah, Farah turut membangkitkan soal realiti kehidupan masa kini yang menyaksikan ramai wanita perlu bekerja bagi membantu menampung keperluan keluarga.
Kalau lelaki zaman sekarang boleh provide sepenuhnya tak ada masalah.
Masalahnya, wanita pun pergi bekerja jadi kenapa nak kena samakan dengan lelaki yang tak beranak?.



