
POV XTRA: ‘Tak Hebat Bila Suka Hukum Isu Orang Lain, Malah Makin Mundur ’ – Aiman Hakim Ridza Tegur Sikap Netizen
By Aqilah Paharuzi | October 20, 2026, 5:15 PM
Dalam dunia media sosial hari ini, sesiapa sahaja boleh melontarkan pendapat hanya dengan beberapa sentuhan di telefon pintar. Namun, kebebasan bersuara bukanlah tiket untuk sewenang-wenangnya menghukum kehidupan orang lain.
Malah, sikap terlalu mudah mengulas dan mencari kesalahan orang lain tanpa menyedari kekurangan diri sendiri turut menjadi persoalan yang wajar direnungkan.
Budaya Menghukum Hanya Mundurkan Diri
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POVXTRA kali ini, pelakon Aiman Hakim Ridza berkongsi pandangannya mengenai budaya menghukum orang lain di media sosial yang disifatkan tidak membawa sebarang kebaikan kepada diri sendiri.
Menurut Aiman, tindakan mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang hanya melalui telefon pintar bukanlah sesuatu yang menjadikan individu itu lebih hebat, sebaliknya boleh menyebabkan diri sendiri semakin mundur tanpa disedari.
Budaya menghukum seseorang dengan hanya memicit telefon pintar tidak menjadikan anda lebih baik atau hebat, malah akan jadi seorang yang mundur tanpa sedar.
The best is kalau tak ada benda yang baik, tak perlu berkata apa-apa.
Berdiam Diri Lebih Baik
Dalam pada itu, Aiman turut menekankan kepentingan memilih untuk berdiam diri daripada terlalu sibuk memberikan pandangan terhadap setiap isu yang melibatkan kehidupan orang lain.
Baginya, ketenangan membolehkan seseorang melihat sesuatu perkara daripada perspektif lebih luas, manakala kata-kata akan menjadi lebih bermakna apabila dilontarkan pada waktu yang tepat.
Bila tenang dan berdiam diri, akan nampak benda yang lebih luas. Lebih bermakna apabila berkata bila ada benda penting.
Kalau semua benda nak ulas isu orang, tanpa sedar kita sebenarnya tak memperbaiki diri dan pada akhirnya hanya akan memakan diri.
Perkongsian Aiman itu secara tidak langsung mengajak masyarakat menilai semula cara mereka menggunakan media sosial, khususnya dalam memberikan pandangan terhadap kehidupan orang lain.
Persoalannya, adakah kita benar-benar perlu mempunyai pendapat tentang setiap perkara, atau ada masanya berdiam diri jauh lebih bermakna?



