
POV XTRA: 'Kawan-Kawan Dah Ramai Pergi, Netizen Pula Makin Celupar…' - Sharifah Shahirah Akui Semangat Seni Kian Pudar
By Aqilah Paharuzi | October 29, 2026, 11:57 AM
Kehilangan rakan-rakan seperjuangan satu demi satu, ditambah pula dengan sikap segelintir netizen yang semakin lantang melemparkan kecaman, membuatkan penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah mengakui semangatnya untuk terus bertahan dalam industri seni semakin pudar.
Bukan sekadar berdepan perubahan zaman, Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Sheira turut meluahkan rasa sebak apabila mengenangkan perjalanan hidup yang semakin singkat sehingga pernah terlintas di fikirannya untuk menerima hakikat mungkin sudah tiba masanya memperlahankan langkah dalam dunia hiburan.
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen #POVXTRA hari ini, Sheira berkongsi pandangannya mengenai cabaran menjadi anak seni pada masa kini, selain menyentuh tentang kehilangan insan tersayang dan budaya kecaman netizen yang dilihat semakin membimbangkan.
Sejak kebelakangan ini asyik menangis saja, mungkin sebab dah tua. Nak pula semua kawan satu-satu dah pergi meninggalkan kita.
Saya fikir semula, kalau zaman aku kawan-kawan dah banyak meninggalkan kita, apa lagi zaman Datuk Yusof Haslam.
Jadi saya sendiri pun memang dah fikir ke arah itu. Lama-kelamaan saya jadi macam reda, sampai tahap ini sajalah aku dalam industri seni.
Bagaimanapun, di sebalik luahan tersebut, Sheira sempat berseloroh apabila mengakui semangatnya kembali berkobar-kobar selepas melihat pelakon veteran, Norlia Ghani masih aktif di platform TikTok.
Tetapi bila tengok akaun TikTok Norlia Ghani, naik pula semangat.
Dalam pada itu, Sheira tidak menafikan sikap segelintir pengguna media sosial yang gemar mengeluarkan kata-kata negatif tanpa mengetahui perkara sebenar turut menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya semakin tawar hati.
Menurutnya, budaya kecaman dan penyebaran fitnah yang semakin berleluasa menyebabkan suasana industri hiburan hari ini jauh berbeza berbanding dahulu.
Hilang semangat dengan zaman sekarang, netizen terlalu celupar. Apa yang mereka nak cakap, mereka cakap saja.
Sedangkan kita tidak tahu apa yang berlaku, fitnah berleluasa.
Saya orang lama lebih suka bercakap bersemuka. Insya-Allah mungkin saya cuba tak hilang semangat, pedulikan apa yang orang akan kata.
Sebab saya tahu orang yang suka mengata suka tengok kesalahan orang lain.
Meskipun berdepan pelbagai pandangan negatif, Sheira menegaskan dirinya tidak mahu terlalu melayan kecaman netizen, malah turut menitipkan pesanan kepada rakan artis supaya tidak membiarkan ketakutan terhadap kritikan menghalang mereka daripada terus berkarya.
Saya tak layan sangat kritikan netizen. Kadang-kala ada sesetengah artis yang takut sekiranya mereka akan dikecam.
Sampai bila? Jangan takut. Lebih patut takut kepada Allah SWT, bukan kata-kata netizen yang tak memberi faedah.
Perkongsian Sheira itu sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai tekanan yang dihadapi golongan selebriti dalam mendepani perubahan industri hiburan, khususnya apabila setiap tindakan dan tutur kata mudah menjadi sasaran penilaian masyarakat di media sosial.



