
POV XTRA: Di Sebalik Sikap Ceria, Siapa Sangka Ain Edruce Bergelut Dengan Keyakinan Diri Selepas Bersalin Anak Kedua
By Aqilah Paharuzi | October 23, 2026, 8:20 AM
Sering tampil ceria, petah berkata-kata dan penuh keyakinan di hadapan kamera, siapa sangka pengacara dan pelakon, Ain Edruce sebenarnya berdepan dengan rasa rendah diri sehingga mengakui kini semakin gementar apabila perlu berjumpa orang ramai.
Rasa Insecure, Kurang Bergaul
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA hari ini, Ain secara terbuka berkongsi mengenai perubahan yang dialaminya selepas mendirikan rumah tangga, terutama apabila kehidupan sosialnya semakin terbatas dan lebih banyak tertumpu kepada keluarga.
Menurut Ain, individu yang paling rapat dengannya ketika ini hanyalah suami, anak-anak serta pembantu rumah.
Titik terendah saya adalah sekarang. Sebenarnya saya rasa sangat insecure. Saya rasa kawan-kawan saya adalah anak-anak, suami dan pembantu, yang paling saya rapat.
Sejak saya berkahwin, saya dah kurang bergaul dan bersosial dengan orang. Kalau dulu orang selalu tengok saya pergi acara, sekarang tak ada.
Bila jumpa dengan orang, ada rasa gementar sikit, tapi orang tak nampak sebab saya banyak cakap. Kalau boleh tengok hati saya ni, gementar tau nak jumpa orang, keluar.
Keyakinan Diri Menurun Selepas Bersalin Anak Kedua
Dalam pada itu, Ain menjelaskan situasi yang dialaminya bukanlah semata-mata mengenai fasa terendah dalam kehidupan, sebaliknya lebih kepada usaha untuk membina semula keyakinan diri yang semakin berkurangan.
Malah, dia tidak menafikan perubahan fizikal selepas melahirkan anak kedua turut memberi kesan terhadap cara dirinya melihat penampilan sendiri.
Bukanlah titik terendah, tapi nak dapatkan balik keyakinan terutamanya dari luaran juga perkara itu masih banyak saya perlu perbaiki.
Terutamanya selepas saya bersalin anak kedua, keyakinan diri saya menurun.
Sebab itu orang kata bila bersalin itu bukan sekadar bersalin, tapi kena bina diri sendiri semula, cantikkan diri dan badan lagi-lagi bekerja dalam industri.
Percaya Masa Mampu Mengembalikan Keyakinan
Bagaimanapun, Ain sedar proses untuk kembali yakin dengan diri sendiri bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.
Sebaliknya, dia memilih untuk memberikan ruang dan masa kepada dirinya bagi menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilalui, termasuk dari segi fizikal dan emosi selepas melahirkan anak.
Perlu bagi masa, tak boleh tergesa-gesa. Perempuan ni macam-macam hormon ada. Saya percaya masa akan mengubat segalanya.
Perkongsian Ain sekali gus membuka perspektif mengenai cabaran yang mungkin dilalui seorang wanita selepas bergelar ibu, khususnya dalam usaha menyeimbangkan tanggungjawab keluarga, tuntutan kerjaya dan keyakinan terhadap diri sendiri.



