
POV XTRA: Belajar Urus Kewangan, Mula Belajar Simpan Emas… Pengalaman Sakit Ubah Cara Zara Zya Berbelanja
By Kamaruddin Razal | November 1, 2026, 9:57 PM
Menyimpan emas sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai pendapatan besar. Namun, bagi sesetengah individu, ia boleh dimulakan secara kecil-kecilan sebagai langkah membina tabiat menyimpan untuk masa depan.
Bagi dramatis popular, Zara Zya, dia kini semakin berminat mendalami simpanan emas selepas melalui pengalaman hidup yang mengubah cara dia menguruskan kewangan.
Malah, aktres berusia 41 tahun itu tidak menafikan pernah melalui fasa berbelanja tanpa terlalu memikirkan masa depan, terutama ketika menikmati pendapatan yang selesa sebagai seorang selebriti.
Jangan Tunggu Kaya Untuk Menyimpan
Menerusi POV XTRA kali ini, Zara berkongsi bagaimana pengalaman hidup mengubah cara dirinya menguruskan kewangan, termasuk mula melihat emas sebagai salah satu pilihan simpanan untuk masa depan.
Menurutnya, dia masih mempelajari selok-belok pemilikan emas selepas sebelum ini lebih biasa menyimpan wang melalui instrumen seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Saya pun tengah belajar sebenarnya untuk rajin menyimpan. Selalunya kita melabur dalam ASB, dalam pelaburan yang melibatkan wang sahaja.
Sekarang ni saya baru nak berjinak-jinak dengan emas. Saya rasa orang muda pun patut belajar untuk menyimpan dari sekarang.
Saya pun sebelum ni tak pandai. Rupanya emas ni ada turun naik, harga hari ini lain, esok lain. Jadi, saya rasa tak terlambat untuk saya dan orang lain mula menyimpan emas.

Bagi Zara, simpanan bukan hanya penting untuk golongan selebriti, sebaliknya perlu menjadi keutamaan setiap individu tanpa mengira usia atau pekerjaan.
Aktres yang mula dikenali menerusi drama bersiri Love You Mr Arrogant ini turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu leka berbelanja ketika mempunyai pendapatan yang baik sehingga mengabaikan persediaan menghadapi waktu sukar.
Pernah Boros, Kini Lebih Berhati-Hati
Bercerita lanjut, Zara mengakui pernah gemar membeli barangan mewah termasuk beg tangan berjenama dan pakaian mahal.
Bagaimanapun, pengalaman berdepan masalah kesihatan sebelum ini menjadi titik perubahan yang membuatkannya lebih menghargai kepentingan simpanan dan perlindungan kewangan.
Bila kita senang, kita selalu seronok tau. Spend, spend, spend... itu pun berlaku pada saya dulu.
Masa jadi artis, duit dapat banyak, belilah beg tangan, barang mekap, baju mahal-mahal. Sekarang ni saya beli baju dekat TikTok RM10 sahaja.
Sebelum sakit tu memang tak ingat dunia, berbelanja sesuka hati. Lepas sakit baru saya sedar, kenapalah dulu banyak berbelanja pada benda yang tak perlu?
Susulan pengalaman tersebut, heroin drama bersiri Luka Di Hujung Setia ini mula mengubah gaya hidup termasuk menjual kereta mewah, memilih kenderaan lebih sederhana dan membina semula simpanan kewangannya.

Baginya, berpakaian murah tidak bermaksud seseorang perlu mengorbankan penampilan kerana gaya tidak semestinya bergantung pada harga atau jenama.
Perkongsian Zara memperlihatkan bagaimana pengalaman hidup boleh mengubah keutamaan seseorang daripada mengejar kemewahan kepada membina kestabilan kewangan.
Namun, dalam konteks simpanan emas, pengguna juga perlu memahami pergerakan harga, perbezaan harga belian dan jualan semula serta risiko sebelum membuat keputusan.
Emas boleh menjadi sebahagian daripada simpanan, tetapi tidak menggantikan keperluan dana kecemasan.
Mahu Anak Muda Celik Simpanan Emas
Zara ditemui bersempena pelancaran cawangan pertama Cindai Gold Palace di Horizon Square, Sepang pada Sabtu, yang menyaksikan dirinya dipilih sebagai wajah kempen pelancaran jenama berkenaan.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Zara mengakui teruja kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menjayakan kempen bersama sebuah perniagaan emas.

Sebelum ni saya tak pernah bekerjasama dengan mana-mana kedai emas. Bila dapat peluang ni, memang saya teruja.
Pada awalnya saya pun tak tahu mengenai Cindai Gold Palace. Selepas berjumpa dan berbincang, kami mencapai persetujuan untuk bekerjasama.
Saya juga seronok dapat bekerjasama dengan pasukan Shiha Zikir untuk menghasilkan kandungan iklan dan lagu Cindai Gold sempena pelancaran ini.
Zara menjelaskan penglibatannya ketika ini hanya sebagai wajah kempen pelancaran dan bukan duta tahunan syarikat, namun tidak menolak kemungkinan meneruskan kerjasama pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Cindai Gold Palace, Datuk Seri Haji Zainal Omar berkata, pembukaan cawangan pertama itu merupakan langkah awal pihaknya untuk memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap pemilikan emas.
Menurutnya, pemilihan lokasi di Horizon Square juga mempunyai perancangan tersendiri, khususnya kerana kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kedudukannya amat strategik serta berdekatan dengan KLIA. Insya-Allah, kami berhasrat menjadikan lokasi ini sebagai hub pelancongan emas utama di Selangor khususnya dan Malaysia secara amnya.

Selain menawarkan koleksi barang kemas dengan rekaan moden, Cindai Gold Palace turut memperkenalkan kemudahan pembelian emas secara digital bagi memudahkan urusan pelanggan.
Jenama itu komited mahu membina platform pemilikan emas yang lebih mudah diakses masyarakat, termasuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan simpanan aset tersebut.
Zainal turut berkongsi perancangan syarikat untuk membuka sehingga 10 cawangan baharu menjelang 2027 menerusi konsep francais, dengan Johor antara lokasi yang diberikan tumpuan.



