
POV XTRA: Bakat Sahaja Belum Cukup? Imran Aqil Percaya Pelakon Perlu Aktif Di Media Sosial
By Naufal Zarir | November 12, 2026, 6:29 PM
Penggunaan media sosial kini bukan sekadar menjadi platform untuk berkongsi aktiviti harian, malah turut membuka peluang kepada golongan selebriti untuk memperkenalkan bakat serta mendapatkan perhatian pihak industri.
Dalam industri hiburan yang semakin berkembang, kehadiran seseorang pelakon di media sosial juga dilihat memainkan peranan penting, khususnya bagi mereka yang masih berusaha membina nama.
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA kali ini, pelakon Imran Aqil berkongsi pandangannya mengenai kepentingan seseorang selebriti untuk kekal aktif di media sosial, selain menyentuh tentang pengaruh jumlah pengikut terhadap pemilihan pelakon dalam sesebuah produksi.
Media Sosial Jadi Platform Tonjolkan Bakat
Kalau kita rasa kita ni masih lagi dalam industri ni tidak lama, baru sahaja, maksudnya suam-suam kuku kiranya, kita kena tonjolkan bakat kita melalui media sosial.
Kalau kita tak tonjol, maka orang lain ataupun bakal director, bakal producer, bakal casting director semua takkan tahu kewujudan kita.”
Menurut Imran, media sosial memainkan peranan penting, khususnya bagi pelakon yang masih baharu dalam industri hiburan untuk memperkenalkan kebolehan mereka kepada pihak produksi.
Jelasnya, pelakon perlu mengambil inisiatif untuk menonjolkan bakat masing-masing menerusi platform digital agar lebih mudah mendapat perhatian pengarah, penerbit serta individu yang terlibat dalam proses pemilihan pelakon.

Respons Pengikut Turut Jadi Pertimbangan Penerbit
Kadang-kadang ada pelakon yang dah buat shooting filem, dah shooting drama tapi mereka tak post apa pun. So, kadang-kadang dia orang fikir macam, ‘Oh, dia ni tak aktif ke?’
Mengulas lanjut, Imran turut menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah pihak produksi yang mengambil kira jumlah pengikut seseorang pelakon di media sosial ketika memilih barisan pelakon.
Ada setengah juga producer yang mengharapkan ataupun memilih followers berbanding karakter pelakon itu sendiri,
Tambahnya, keadaan tersebut menunjukkan bahawa kehadiran di media sosial semakin penting dalam industri hiburan masa kini.
Justeru, dia berpendapat pelakon perlu bijak menggunakan platform digital untuk memperkenalkan diri serta memastikan bakat mereka tidak terlepas daripada perhatian pihak industri.
Mengakhiri perkongsian, Imran melihat keaktifan di media sosial sebagai satu kelebihan yang wajar dimanfaatkan oleh pelakon, khususnya mereka yang masih berusaha membina nama dalam industri.



