Manusia Lebih Menakutkan Daripada Hantu, Apa Yang Filem 'Confessions of a Shaman' Mahu Sampaikan?

Manusia Lebih Menakutkan Daripada Hantu, Apa Yang Filem 'Confessions of a Shaman' Mahu Sampaikan?

By Kamaruddin Razal | November 5, 2026, 10:50 PM

Dalam kebanyakan kisah seram, hantu sering digambarkan sebagai makhluk yang paling ditakuti. Kehadirannya mengundang ketakutan, manakala manusia pula menjadi mangsa yang cuba menyelamatkan diri.

Namun, bagaimana jika perkara yang paling menakutkan sebenarnya bukan datang daripada alam ghaib, tetapi daripada perbuatan manusia sendiri?

Persoalan inilah yang menjadi antara inti pati filem seram Thailand, Confessions of a Shaman, sebuah naskhah yang mengangkat tema dendam, pengkhianatan dan ilmu hitam untuk meneroka sisi gelap kehidupan manusia.

Shaman_2.jpg

Lebih daripada sekadar menakutkan penonton, filem ini turut mengajak kita melihat bagaimana penderitaan dan ketidakadilan boleh mengubah seseorang sehingga sanggup memilih jalan yang akhirnya memusnahkan dirinya sendiri.

Apabila Mangsa Memilih Jalan Dendam

Menerusi filem arahan Nathanon Cholumpi ini, penonton diperkenalkan dengan Tor lakonan Alek Teeradetch Metavarayuth, seorang sami muda yang berdepan pelbagai tragedi kehidupan.

Kematian ibunya serta kekejaman seorang individu berpengaruh menyebabkan Tor kehilangan tempat bergantung, malah gagal memperoleh pembelaan melalui saluran undang-undang.

Shaman_1.jpg

Keadaan itu akhirnya mendorongnya meninggalkan kehidupan sebagai sami sebelum berguru dengan seorang bomoh berpengaruh, Mor Tian lakonan Shahkrit Yamnarm.

Daripada seorang lelaki yang hanya menginginkan kehidupan sederhana, Tor semakin tenggelam dalam dunia ilmu hitam demi membalas dendam terhadap mereka yang pernah menzaliminya.

Namun, sejauh mana tindakan membalas kejahatan dengan kejahatan mampu memberikan keadilan?

Persoalan ini menjadi antara konflik utama filem tersebut apabila Tor mula mengamalkan ilmu membangkitkan hong phrai, iaitu roh pendamping yang digunakan untuk membalas dendam.

Shaman_4.jpg

Benarkah Hantu Lebih Jahat Daripada Manusia?

Menurut Nathanon, filem berdurasi 126 minit itu tidak hanya berkisar tentang pertarungan antara manusia dengan makhluk ghaib.

Sebaliknya, elemen seram digunakan untuk memperlihatkan bagaimana manusia mampu menjadi punca penderitaan orang lain sehingga melahirkan dendam yang sukar dipadamkan.

Pada saya, hantu dalam filem ini bukan watak jahat kerana kebanyakannya juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan.

Perkara yang benar-benar menakutkan ialah manusia yang sanggup menyakiti orang lain serta dendam yang mampu mengubah seseorang sepenuhnya.

Pandangan tersebut membuka ruang kepada persoalan yang lebih besar tentang hubungan antara kejahatan, penderitaan dan pilihan manusia.

Shaman_6.jpg

Dalam dunia sebenar, tidak semua individu yang disakiti akan memilih untuk membalas dendam. Namun, apabila seseorang terlalu lama memendam kesakitan, batas antara keinginan mendapatkan keadilan dengan hasrat untuk menghukum boleh menjadi semakin kabur.

Di sinilah Confessions of a Shaman cuba mengetengahkan kengerian yang lebih dekat dengan kehidupan manusia, apabila dendam bukan sahaja mengubah nasib orang lain, tetapi turut memakan diri sendiri.

Seram Yang Berpunca Daripada Emosi

Bagi memastikan konflik tersebut mempunyai kesan kepada penonton, Nathanon memberi penekanan kepada perkembangan setiap watak serta sebab di sebalik tindakan mereka.

Diadaptasi daripada kisah popular The Ghost Radio yang mencatatkan lebih lapan juta tontonan, filem ini turut menggunakan gabungan kesan praktikal, kesan khas dan teknologi imejan janaan komputer (CG) bagi menghidupkan dunia supernaturalnya.

Sementara itu, Alek mengakui watak Tor antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya lakonannya.

Menurutnya, Tor bukan individu yang sejak awal mengimpikan kekayaan atau kuasa. Dia hanya mahukan kehidupan stabil, kasih sayang dan penerimaan masyarakat.

Namun, kehilangan demi kehilangan akhirnya mengubah cara watak tersebut melihat dunia.

Malah, babak membabitkan hubungan Tor dengan ibunya menjadi antara yang paling mencabar buat Alek kerana hubungan itulah satu-satunya tempat watak berkenaan bergantung harapan.

Justeru, ketakutan dalam Confessions of a Shaman bukan semata-mata hadir melalui kemunculan makhluk ghaib, tetapi juga lahir daripada emosi manusia yang semakin hilang arah.

Shaman_5.jpg

Barangkali, itulah mesej yang cuba ditinggalkan oleh naskhah ini. Hantu mungkin menakutkan kerana rupanya, tetapi manusia boleh menjadi lebih menakutkan kerana pilihan dan perbuatannya.

Dalam pada itu, Confessions of a Shaman turut dibintangi Denise Jelilcha Kapaun, Am Amarin Nitibhon dan Boom Ranya Siyanont, selain penampilan khas BamBam daripada kumpulan K-pop GOT7.

Filem seram Thailand ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 November 2026.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Anugerah Tanpa Cahaya

Anugerah Tanpa Cahaya

Purina Felix Cat Fashion Week

Purina Felix Cat Fashion Week

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

Neraka Yang Terhijab

Neraka Yang Terhijab

Hilang Dalam Rindu

Hilang Dalam Rindu

BLEACH: Thousand-Year Blood War

BLEACH: Thousand-Year Blood War

Manusia Lebih Menakutkan Daripada Hantu, Apa Yang Filem 'Confessions of a Shaman' Mahu Sampaikan? | Article | XTRApedia