
Hadie Elfardie Terharu Bila ‘Dusta Sebuah Cinta’ Kena Dengan Kisah Pendengar
By Kamaruddin Razal | October 9, 2026, 5:17 AM
Sesebuah lagu mungkin bermula daripada cerita yang ditulis oleh penciptanya, tetapi apabila sudah dilepaskan kepada umum, kisah itu boleh berubah menjadi milik sesiapa sahaja yang mendengar.
Itu antara perkara yang mula dirasakan penyanyi muda, Hadie Elfardie menerusi single solonya, Dusta Sebuah Cinta ciptaan Jaja Ishak dan Hermanshah apabila ada pendengar mengakui lagu tersebut cukup dekat dengan pengalaman peribadi mereka.
Baca Komen Positif Peminat & Pendengar
Menurut anak kepada Ina Naim dan Allahyarham Suhaimi Saad itu, dia membaca beberapa komen daripada mereka yang pernah melalui kisah cinta hampir sama seperti yang digambarkan menerusi lagu berkenaan.

“Ada yang komen kata mereka teringat pengalaman lama dan ada juga yang cakap lagu ini memang kena dengan kisah hidup mereka.
“Bila baca perkara macam itu, saya rasa Alhamdulillah sebab sekurang-kurangnya lagu yang saya nyanyikan sudah sampai kepada orang. Mereka boleh faham ceritanya dan kaitkan dengan pengalaman sendiri.
“Tapi dalam masa sama saya rasa sedih juga bila tahu ada yang betul-betul pernah melalui perkara seperti itu,” katanya.
Faham Emosi Cinta Menerusi Filem & Pembacaan
Dusta Sebuah Cinta mengangkat kisah hubungan yang tidak lagi diperjuangkan secara bersama apabila hanya satu pihak terus berusaha mempertahankan cinta, sedangkan seorang lagi memilih untuk pergi.
Menariknya, Hadie sendiri mengakui belum pernah melalui pengalaman percintaan seperti yang diceritakan dalam lagu tersebut.
Sebaliknya, dia banyak memahami emosi mengenai cinta, perpisahan dan kehilangan melalui filem, pembacaan serta cerita yang berlaku di sekelilingnya.
“Saya banyak tengok filem dan membaca juga. Dari situ sedikit sebanyak saya faham macam mana orang bercinta, putus cinta atau ditinggalkan pasangan.
“Jadi saya ambil perkara-perkara itu untuk memahami cerita lagu ini. Bagi saya, penceritaan Dusta Sebuah Cinta memang cantik,” ujarnya.
Namun selepas mendengar sendiri bagaimana pendengar mengaitkan lagu itu dengan kehidupan mereka, karya tersebut seakan memperoleh makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah lagu cinta.
Kadang-kadang penyanyi tidak perlu melalui cerita yang sama untuk membuatkan sesuatu lagu dekat dengan pendengar. Sebaliknya, pendengar sendiri yang akan mengisi ruang tersebut dengan memori, kehilangan dan pengalaman masing-masing.
Langkah Hadie Sebagai Penyanyi Solo
Bagi Hadie, perjalanan sebagai penyanyi juga masih berada pada fasa mengenali dirinya sendiri.
Selepas hampir setahun memberi tumpuan kepada kerjaya, dia mengakui kini semakin selesa untuk tampil sebagai dirinya tanpa terlalu memikirkan bagaimana orang mahu melihatnya.
“Sekarang saya rasa lebih selesa sebab boleh jadi diri sendiri dan tak perlu dibuat-buat. Orang pun dah boleh kenal perangai, gaya dan cara saya sebenarnya,” katanya.
Mungkin Dusta Sebuah Cinta hanyalah permulaan kepada perjalanan itu. Tetapi apabila sebuah lagu sudah membuatkan pendengar berkata, “ini macam cerita hidup aku,” ia sekurang-kurangnya memberi petanda cerita yang mahu disampaikan Hadie sudah menemui orang yang sepatutnya mendengarnya.



