FFM35 Bukan Sekadar Trofi, FINAS Perkukuh Penjurian & Mahu Filem Tempatan Tembusi Pasaran Dunia

FFM35 Bukan Sekadar Trofi, FINAS Perkukuh Penjurian & Mahu Filem Tempatan Tembusi Pasaran Dunia

By Kamaruddin Razal | November 19, 2026, 6:20 PM

Industri perfileman Malaysia semakin menunjukkan perkembangan positif, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan dan penceritaan, malah kemampuan karya tempatan menarik perhatian penonton serta menembusi pasaran antarabangsa.

Seiring dengan perkembangan itu, penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dilihat sebagai platform penting untuk meraikan pencapaian penggiat seni, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri perfileman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, peningkatan mutu filem tempatan semakin jelas apabila industri berjaya mencapai beberapa sasaran yang ditetapkan.

Menurut Azmir, lebih 10 filem tempatan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta tahun ini, sekali gus mencerminkan penerimaan penonton terhadap karya Malaysia.

Alhamdulillah, industri filem dan televisyen negara semakin berkembang, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan, malah kekuatan penceritaan dan mutu lakonan.

Jika dahulu hanya dua atau tiga filem setahun mampu mencatat kutipan melebihi RM10 juta, tahun ini kita berjaya mencapai sasaran lebih 10 filem.

Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Azmir turut menjelaskan, peningkatan kualiti karya tempatan dapat dilihat menerusi persaingan sengit dalam kalangan filem yang bertanding pada FFM35 sehingga memberikan cabaran kepada barisan juri untuk menentukan pemenang.

Dalam masa sama, sambutan terhadap kandungan Malaysia di platform penstriman antarabangsa turut memperlihatkan kemampuan industri menghasilkan karya yang mempunyai daya tarikan merentas sempadan.

FFM35 Bukan Sekadar Pentas Pengiktirafan

Mengulas mengenai penganjuran FFM35, Azmir berkata, FINAS mahu festival berprestij itu terus berkembang sebagai acara tahunan yang menghimpunkan seluruh warga industri perfileman negara.

Menurutnya, festival tersebut bukan hanya untuk meraikan individu yang menerima pencalonan atau membawa pulang trofi, sebaliknya menjadi medan menghargai usaha dan pencapaian semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem.

Malah, sambutan daripada penggiat seni termasuk mereka yang tidak tersenarai dalam kelompok lima calon terbaik memperlihatkan semangat kebersamaan dalam industri.

Kita mahu FFM menjadi medan seluruh penggiat industri meraikan kejayaan rakan seperjuangan, selain mendekatkan masyarakat dengan perkembangan perfileman negara.

Sebagai dorongan kepada penghasilan karya yang lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta untuk membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti.

Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta itu disediakan sebagai sokongan penerbitan bagi membantu pemenang menghasilkan karya seterusnya.

FFM_Forum99.jpg

Sistem Penjurian Baharu, 50 Juri Industri Terlibat

Dalam usaha memperkukuh kredibiliti FFM35, FINAS turut memperkenalkan sistem penjurian baharu yang memberikan ruang kepada lebih ramai penggiat industri untuk terlibat dalam proses pemilihan pemenang.

Menurut Azmir, sistem tersebut mengekalkan lapan juri profesional dengan penambahan 50 juri industri yang terdiri daripada bekas pemenang FFM serta pensyarah universiti.

Proses penilaian turut dilaksanakan secara dalam talian, manakala identiti juri industri dirahsiakan antara satu sama lain, termasuk daripada panel profesional.

Pendekatan berkenaan bertujuan memastikan penilaian dilakukan secara bebas dan mengurangkan kemungkinan wujudnya pengaruh atau kepentingan tertentu.

Pada peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan.

Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional.

Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata.

Azmir berharap pembaharuan tersebut dapat meningkatkan keyakinan penggiat seni terhadap kredibiliti FFM sebagai platform pengiktirafan tertinggi industri perfileman negara.

Spektrum Sinema Raikan Kepelbagaian Karya Tempatan

Sementara itu, pemilihan tema Spektrum Sinema bagi FFM35 turut membawa pengertian tersendiri terhadap perkembangan industri filem Malaysia.

Azmir berkata, tema berkenaan mencerminkan kepelbagaian budaya, bahasa, genre dan pendekatan kreatif yang menjadi kekuatan sinema tempatan.

Jelasnya, lima calon Filem Terbaik FFM35 memperlihatkan kepelbagaian tersebut menerusi karya berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dengan pendekatan penceritaan yang berbeza.

Inilah kekuatan sebenar sinema Malaysia yang memiliki kepelbagaian identiti dan pendekatan penceritaan.

Kita bukan sahaja mahu meraikan kepelbagaian ini menerusi FFM35, tetapi menjadikannya sebagai kelebihan untuk memperkenalkan karya tempatan kepada penonton antarabangsa.

FINAS Mahu Filem Malaysia Tembusi Pasaran Antarabangsa

Dalam perkembangan lain, FINAS turut memberikan perhatian terhadap usaha memperluas pasaran filem tempatan ke luar negara.

Menurut Azmir, langkah itu dilaksanakan menerusi program Market Access yang membuka peluang kepada penggiat industri Malaysia menyertai acara dan pasaran kandungan antarabangsa.

Antara platform yang menjadi tumpuan ialah MIPCOM di Cannes, Hong Kong FILMART, Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis, Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura serta JAFF Market di Yogyakarta, Indonesia.

Selain itu, FINAS turut memperkukuh hubungan dengan platform penstriman seperti Netflix, iQIYI dan Viu bagi membuka lebih banyak ruang kepada kandungan Malaysia untuk dipasarkan kepada penonton antarabangsa.

Kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri serta pejabat kedutaan Malaysia di luar negara juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan karya tempatan kepada pasaran lebih luas.

Dalam masa sama, Azmir memaklumkan FINAS bakal mengumumkan kerjasama baharu dengan Indonesia, termasuk pelaksanaan program Malay Script Lab yang memberikan tumpuan kepada pembangunan skrip dan penerbitan bersama antara kedua-dua negara.

Usaha memperkukuh jaringan serantau turut dirancang menerusi Asian Film Alliance Network (AFAN) dan program SeaShorts.

Malaysia mempunyai banyak karya berkualiti dengan identiti budaya dan kekuatan penceritaan tersendiri.

Melalui kerjasama penerbitan, akses pasaran dan jaringan strategik antarabangsa, kita mahu memastikan filem Malaysia bukan sahaja berjaya di negara sendiri, tetapi mampu menembusi pasaran lebih luas serta membina kedudukan yang lebih kukuh dalam industri perfileman global.

Dalam pada itu, jangan lupa saksikan malam kemuncak FFM35 yang bakal berlangsung pada 21 November 2026 (Sabtu), jam 8.30 malam, bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson, acara berprestij itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dan saluran YouTube rasmi FINAS.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Tertulis Kita Sampai Syurga

Tertulis Kita Sampai Syurga

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Bisik Asmara

Bisik Asmara

Racun Segumpal Hati

Racun Segumpal Hati

Please Excuse My Younger Brothers

Please Excuse My Younger Brothers

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

FFM35 Bukan Sekadar Trofi, FINAS Perkukuh Penjurian & Mahu Filem Tempatan Tembusi Pasaran Dunia | Article | XTRApedia