FFM35: Lima Naskhah Rebut Gelaran, Siapa Bakal Dinobat Filem Terbaik?

FFM35: Lima Naskhah Rebut Gelaran, Siapa Bakal Dinobat Filem Terbaik?

By Kamaruddin Razal | November 20, 2026, 3:56 PM

Debaran menjelang malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) semakin terasa apabila lima karya tempatan bakal bersaing merebut pengiktirafan tertinggi, iaitu Filem Terbaik.

Menariknya, dua naskhah seram, Khadam dan Malam Terlarang, dilihat mendahului saingan apabila masing-masing meraih 12 pencalonan pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, persaingan masih terbuka apabila Mother Bhumi, Macai dan Abah Saya Uncle Mike turut mempunyai kekuatan tersendiri, termasuk pencapaian di peringkat antarabangsa serta pengiktirafan daripada pengkritik filem.

Bertemakan Spektrum Sinema, FFM35 kali ini memperlihatkan kepelbagaian genre dan pendekatan penceritaan yang semakin menyerlah dalam industri perfileman Malaysia.

Jadi, antara lima karya ini, filem manakah yang mempunyai peluang paling cerah untuk membawa pulang trofi Filem Terbaik?

1. Khadam – 12 Pencalonan

Filem seram arahan Shamyl Othman ini mengangkat kisah Melor, seorang wanita yang mewarisi saka keluarganya sebelum berdepan ancaman entiti ghaib yang menyerupai dirinya.

Dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim, Khadam bukan sekadar mempertaruhkan elemen seram, malah mengetengahkan konflik psikologi, kehilangan identiti dan tanggungjawab kekeluargaan.

FFM35_3.jpg

Kekuatan filem ini turut terserlah apabila menerima pencalonan dalam beberapa kategori utama, termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Dengan 12 pencalonan yang merangkumi aspek kreatif dan teknikal, Khadam dilihat sebagai antara calon paling kuat untuk merebut gelaran Filem Terbaik.

2. Malam Terlarang – 12 Pencalonan

Sebuah lagi pencabar utama ialah Malam Terlarang, arahan Allahyarham Norhanisham Muhammad atau Labu, yang turut mendominasi pencalonan dengan 12 kategori.

Berlatarbelakangkan penghujung 1980-an, filem lakonan Shasha Abedul, Datin Sofia Jane dan Zul Ariffin ini menggabungkan unsur mistik, konflik keluarga serta pergolakan politik.

FFM35_2.jpg

Selain kekuatan penceritaan, Malam Terlarang turut membuktikan penerimaan penonton apabila mencatat kutipan sekitar RM12.2 juta di pawagam.

Filem ini juga meraih empat pengiktirafan sebagai Pemenang Kebangsaan Malaysia pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.

Gabungan kejayaan komersial, pencapaian terdahulu dan jumlah pencalonan yang tinggi memberikan kelebihan tersendiri kepada Malam Terlarang dalam persaingan kali ini.

3. Mother Bhumi – 8 Pencalonan

Berbeza daripada dua naskhah seram tadi, Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun mempertaruhkan kekuatan sinema artistik, budaya dan penceritaan yang sarat dengan pemerhatian sosial.

Dibintangi pelakon terkenal China, Fan Bingbing, filem ini mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal di Kedah yang berdepan konflik berkaitan tanah, keluarga dan kepercayaan tradisional.

FFM35_4.jpg

Walaupun memperoleh lapan pencalonan, Mother Bhumi mempunyai pencapaian antarabangsa yang cukup membanggakan.

Filem ini berjaya meraih tiga anugerah pada Golden Horse Awards ke-62, termasuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi Fan Bingbing, Sinematografi Terbaik dan Lagu Filem Asal Terbaik.

Kejayaan tersebut menjadikan Mother Bhumi antara calon yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya dari sudut kekuatan pengarahan, bahasa visual dan pengiktirafan antarabangsa.

4. Macai – 6 Pencalonan

Filem Macai arahan Sun-J Perumal pula mengetengahkan kisah seorang pengedar dadah yang terperangkap dalam konflik dunia jenayah selepas kehilangan bekalan milik ketua sindiket.

Menggabungkan elemen thriller, jenayah dan pemerhatian sosial, karya ini membawa pendekatan penceritaan yang berbeza daripada calon lain.

FFM35_5.jpg

Walaupun hanya menerima enam pencalonan, Macai mempunyai kelebihan apabila pernah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur ke-11.

Reputasi Sun-J Perumal yang sebelum ini pernah memenangi Filem Terbaik FFM28 menerusi Jagat turut menjadikan Macai sebuah karya yang wajar diberikan perhatian.

Jika kekuatan pengarahan dan keaslian penceritaan menjadi pertimbangan utama, tidak mustahil Macai mampu mencipta kejutan.

5. Abah Saya Uncle Mike – 8 Pencalonan

Diinspirasikan daripada kisah benar, Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Gazali membawa penonton menyelami kisah seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu.

Dibintangi Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin dan Umar Shakur, filem ini mengangkat nilai kasih sayang, pengorbanan serta hubungan kekeluargaan yang melangkaui perbezaan kaum dan agama.

FFM35_6.jpg

Kekuatan emosi dan persembahan pelakon menjadi antara kelebihan karya ini, sekali gus menyumbang kepada lapan pencalonan pada FFM35.

Dengan pendekatan penceritaan yang dekat dengan masyarakat, Abah Saya Uncle Mike berpotensi memberikan persaingan menerusi kekuatan kisah kemanusiaan yang dibawakan.

Siapa Bakal Dinobatkan Sebagai Filem Terbaik?

Melihat kepada jumlah pencalonan, Khadam dan Malam Terlarang sememangnya berada pada kedudukan yang cukup kukuh.

Malah, jika mengambil kira kejayaan komersial dan pengiktirafan terdahulu, Malam Terlarang mungkin mempunyai sedikit kelebihan untuk dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

Namun, jumlah pencalonan dan pencapaian terdahulu bukanlah jaminan kemenangan.

Mother Bhumi mempunyai reputasi antarabangsa, Macai menerima pengiktirafan pengkritik filem, manakala Abah Saya Uncle Mike mempertaruhkan kekuatan emosi dan nilai kemanusiaan.

Tambahan pula, pelaksanaan sistem penjurian baharu pada FFM35 menjadikan keputusan akhir lebih sukar dijangka apabila penilaian turut melibatkan bekas pemenang festival bersama panel juri profesional.

Apa pun keputusannya, persaingan lima karya ini memperlihatkan kepelbagaian sinema Malaysia yang tidak lagi bergantung kepada satu genre atau pendekatan penceritaan semata-mata.

Jadi, antara lima filem ini, karya manakah yang paling layak membawa pulang trofi Filem Terbaik FFM35?

Segala persoalan bakal terjawab pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung pada 21 November 2026 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Tertulis Kita Sampai Syurga

Tertulis Kita Sampai Syurga

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Bisik Asmara

Bisik Asmara

Racun Segumpal Hati

Racun Segumpal Hati

Please Excuse My Younger Brothers

Please Excuse My Younger Brothers

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

FFM35: Lima Naskhah Rebut Gelaran, Siapa Bakal Dinobat Filem Terbaik? | Article | XTRApedia