
Di Sebalik Suara Misha Omar, Ada Jasa Yang Dikenang... Showcase ‘Aku & Lelaki’ Bawa Makna Tersendiri
By Aqilah Paharuzi | October 21, 2026, 5:03 PM
Lagu Allahyarham Datuk Sudirman, Afgan dan Bruno Mars datang daripada era serta latar muzik yang berbeza. Namun, semuanya bakal bertemu menerusi satu suara, Misha Omar, di pentas showcase eksklusif, Aku & Lelaki.
Bakal berlangsung pada 24 Oktober ini di JioSpace, Petaling Jaya, persembahan tersebut mengangkat karya penyanyi lelaki yang menjadi sebahagian daripada sumber inspirasi Misha sepanjang 24 tahun perjalanan seninya.
Bayangan tentang kepelbagaian itu sudah terlihat menerusi sebahagian senarai lagu yang dikongsikan di Instagram Story (IGs) miliknya. Ada klasik tempatan, balada dari Indonesia serta sentuhan R&B dan pop antarabangsa.

Di sebalik pilihan lagu yang merentasi generasi itu, terselit kisah tentang insan yang pernah membuka peluang, memberikan dorongan dan meninggalkan kesan dalam perjalanan Misha sebagai penghibur.
‘Lelaki’ Yang Mewarnai Perjalanan Misha
Judul Aku & Lelaki mempunyai makna tersendiri buat Misha. Sepanjang membina kerjaya, penyanyi itu mengakui ramai rakan artis lelaki memberi ruang kepadanya untuk berkongsi pentas, sekali gus memperkaya pengalaman seninya.
Sebelum ini, saya selalu diberikan peluang oleh rakan penyanyi lelaki yang hebat-hebat untuk muncul dalam konsert atau persembahan mereka.
Antaranya Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Anuar Zain. Dari negara seberang pula, saya pernah bekerjasama dengan Afgan yang banyak memberi inspirasi.
Ramai sebenarnya penyanyi lelaki ini yang memberi inspirasi kepada saya untuk terus berkarya. Sebab itu saya pilih seleksi lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi itu untuk dibawakan nanti.
Sebahagian karya yang dipilih mempunyai kaitan dengan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada pengalaman Misha sendiri dalam industri.
Bagi pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu, peluang, nasihat dan sentuhan mereka menjadi antara ‘ramuan’ yang membentuk dirinya hari ini.
Keberadaan selama 24 tahun ini saya sangat hargai. Apa yang menjadikan 'rempah-ratus' Misha Omar itu, salah satunya banyak penyanyi lelaki yang memberi inspirasi, peluang, sentuhan dan kata-kata.
Ini satu penghargaan yang sangat besar buat saya. Mungkin nanti ada pula Misha Omar Aku & Wanita, tak tahulah kan.
Sudah 24 Tahun Menyanyi, Misha Masih Mahu Berguru
Membawakan karya daripada penyanyi dengan karakter vokal berbeza tentunya memerlukan persediaan. Daripada penghayatan balada hingga pendekatan R&B, setiap lagu menuntut perhatian terhadap teknik dan cara penyampaiannya.
Untuk itu, Misha terus mendapatkan tunjuk ajar, termasuk daripada Shaffiq Erwin, selain merancang bertemu Datuk Syafinaz Selamat.
Saya akan bertemu Cikgu Shaffiq Erwin dan Datuk Syafinaz Selamat. Sukar sekali nak dapatkan Datuk Syafinaz sebab beliau amat sibuk.
Dalam masa sama, saya tak boleh berlapang dada tunggu sahaja. Saya perlu berlatih di bawah Cikgu Shaffiq Erwin.
Saya suka bekerja dengan orang yang lebih bagus dari sudut vokal, teknik dan sebagainya sebab dinamik untuk persembahan itu, dalam susunan lagu, pasti akan lebih tersusun.
Keinginan menambah ilmu itu turut membawanya menyaksikan persembahan penghibur di Indonesia. Misha memberi perhatian terhadap susunan muzik serta pendekatan yang diketengahkan artis di sana.
Saya selalu ke Indonesia untuk mendengarkan susunan muzik mereka. Baru-baru ini, saya pergi menyaksikan Afgan, Raisa dan Andi Rianto. Saya juga berjumpa Tohpati dan Melly Goeslaw.
Sikap terbuka terhadap pengalaman baharu ini membantu menjelaskan keluasan pengaruh dalam pilihan lagunya. Selepas lebih dua dekad, Misha masih melihat pentas orang lain sebagai ruang untuk belajar.
Saya suka tengok orang baharu, akan dapat inspirasi. The moment awak rasa awak cukup, habislah. Kita akan sentiasa berkembang. Setiap hari adalah hari baharu dan peluang untuk memperbaiki diri dalam semua perkara.
Orang baharu atau orang lama, pastinya mempunyai perspektif yang berbeza.
Impian Stadium Tertangguh, Misha Terus Melangkah
Ketika mempersiapkan Aku & Lelaki, Misha turut menyimpan impian lebih besar untuk perjalanan seninya.
Hasrat mengadakan konsert berskala stadium sempena ulang tahun ke-25 penglibatannya dalam industri muzik, bagaimanapun, terpaksa ditangguhkan.
Misha tidak menyembunyikan rasa sedih, apatah lagi perancangan itu membawa harapan yang besar. Namun, dia cuba menerima penangguhan tersebut sebagai ruang untuk memberi masa kepada dirinya, termasuk kemungkinan menambah karya baharu dalam katalog muziknya.
Saya memang sedih bila diberitahu konsert tahun depan tak ada. Memang keseriusan itu sangat serius untuk mengadakan konsert di stadium sempena sambutan 25 tahun, mungkin Allah nak beri saya lagu baharu untuk tambah katalog.
Saya positif sahaja. Kalau nak sedih dah menangis. Tapi sebab harapannya besar sekali dan bersungguh sekali, tak mengapa untuk beri masa.
Sementara impian itu menanti waktunya, Aku & Lelaki menjadi pentas untuk Misha berkongsi sebahagian daripada pengaruh yang mewarnai perjalanan seninya.
Klasik, Balada Dan R&B, Semuanya Dalam Satu Persembahan
Kepelbagaian pengaruh tersebut jelas tergambar dalam seleksi lagu Aku & Lelaki. Daya tarikan seleksi ini terletak pada pertemuan karakter muzik yang berbeza.
Setiap karya hadir dengan gaya penyanyi asal yang sudah dikenali pendengar, menjadikan interpretasi Misha antara perkara yang menarik untuk dinantikan.
Bagaimanakah lenggok, penghayatan dan identiti vokalnya bakal mewarnai lagu-lagu tersebut? Di situlah ruang untuk peminat mendengar sisi berbeza Misha menerusi karya yang mungkin sudah dekat dengan mereka.
Dalam showcase Aku & Lelaki, karya yang memberi inspirasi bertemu lagu yang membina nama Misha Omar. Pertemuan itulah yang menjadikan showcase ini sebuah penghargaan dengan cerita tersendiri selepas 24 tahun di pentas seni.



