
#TriviaXTRA: Suka Menyendiri Dalam Kereta, Boleh Makan Nasi Paprik Setiap Hari! Ini 3 Fakta Muaz Mohamed
By Naufal Zarir | November 2, 2026, 7:33 PM
Sering tampil ceria dan petah berbicara setiap kali mengendalikan program, pengacara dan peyampai radio Muaz Mohamed sememangnya mempunyai personaliti tersendiri yang cukup disenangi penonton.
Namun, siapa sangka di sebalik perwatakannya yang santai di hadapan kamera, pengendali segmen Pagi On Point di Kool FM ini sebenarnya mempunyai sisi berbeza apabila berada di rumah bersama anak-anak.
Bukan itu sahaja, pengacara berkenaan turut mempunyai rutin unik sebelum memulakan tugas serta makanan kegemaran yang boleh dinikmati setiap hari tanpa rasa bosan.

Jom Kenali 3 Sisi Menarik Muaz Mohamed!
Menerusi segmen #TriviaXTRA kali ini, Muaz berkongsi tiga fakta mengenai dirinya yang mungkin jarang diketahui peminat.
1. Rupanya Seorang Bapa Yang Serius Di Rumah
Walaupun sering dilihat ceria dan suka berjenaka ketika mengendalikan program, Muaz mengakui dirinya sebenarnya seorang yang serius apabila bersama anak-anak.
Menurut Muaz, dia terpaksa mengambil pendekatan lebih tegas selepas mencuba pelbagai cara untuk mendidik anak-anaknya.
Jelasnya, sikap terlalu santai kadangkala menyebabkan anak-anak kurang mendengar kata. Disebabkan itu, dia memilih untuk lebih serius apabila keadaan memerlukan.
2. Suka Duduk Bersendirian Dalam Kereta Sebelum Mengacara
Menariknya, Muaz mempunyai rutin tersendiri setiap kali mahu mengendalikan program atau siaran langsung.
Menurut Muaz, dia gemar meluangkan masa bersendirian di dalam kereta beberapa jam sebelum memulakan tugas kerana suasana tersebut membuatkannya berasa lebih tenang.
Malah, masa tersebut turut digunakan untuk membaca dan mengulang kaji skrip berkali-kali supaya segala maklumat yang perlu disampaikan dapat diingati dengan baik.
3. Boleh Makan Nasi Paprik Setiap Hari
Kalau bercakap tentang makanan kegemaran pula, Muaz mendedahkan nasi paprik merupakan antara hidangan yang paling disukainya.
Malah, dia mengakui boleh menikmati nasi paprik setiap hari tanpa berasa bosan. Selain itu, ayam kunyit juga menjadi antara pilihan kegemarannya.
Menurut Muaz, isterinya sendiri kadangkala menegur tabiat tersebut kerana dia sering memilih hidangan yang sama.

Daripada seorang bapa yang tegas di rumah sehinggalah mempunyai rutin menyendiri sebelum bekerja, perkongsian ini memperlihatkan sisi Muaz yang mungkin tidak ramai ketahui.
Siapa sangka, di sebalik kelincahannya mengendalikan program, Muaz sebenarnya lebih gemar mencari ketenangan dengan caranya sendiri sebelum berhadapan dengan penonton.



