
#SkoolXTRA: 'Saya Bukan Jahat, Cuma Nakal' – Zarif Ghazzi Pernah Tidur Dalam Kelas
By Naufal Zarir | November 11, 2026, 7:44 AM
Setiap orang pastinya mempunyai kenangan tersendiri ketika zaman persekolahan, termasuk pengalaman melakukan perkara nakal bersama rakan-rakan. Walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan, ada sahaja kisah lucu yang masih diingati sehingga hari ini.
Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui oleh peminat.
Untuk edisi kali ini, pelakon meningkat naik, Zarif Ghazzi tidak malu mendedahkan sisi nakalnya ketika bergelar pelajar sekolah.
Meskipun mengakui bukan seorang pelajar yang terlalu baik, dia tetap meletakkan rasa hormat terhadap guru sebagai keutamaan.

Mengaku Pelajar Nakal, Tapi Tetap Hormat Guru
Mengimbas kembali zaman persekolahan, Zarif mengakui dirinya merupakan seorang pelajar yang agak nakal dan gemar bersikap santai.
Bagaimanapun, dia menegaskan kenakalannya bukanlah sehingga mengabaikan rasa hormat terhadap guru yang banyak mencurahkan ilmu kepadanya.
Saya dekat sekolah jenis orang yang santai, tak baik sangat. Saya seorang yang nakal. Bukan saya jahat, tapi saya nakal.
Namun begitu, Alhamdulillah, saya masih menghormati semua guru saya sebab itu adalah punca utama ilmu saya.

Pernah Datang Lambat & Tidur Dalam Kelas
Bercerita lanjut mengenai kenakalannya, Zarif mendedahkan dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan yang biasa berlaku dalam kalangan pelajar.
Antaranya termasuk datang lewat ke sekolah, tertidur ketika sesi pembelajaran berlangsung serta tidak menyiapkan kerja sekolah.
Kadang-kadang datang lambat sikit, kadang-kadang tidur dekat kelas. Tak siap kerja sekolah tu ada juga. Biasalah, manusia kan.
Meskipun pernah melalui pelbagai kenangan nakal ketika bergelar pelajar, Zarif tetap menghargai jasa guru yang mendidiknya sehingga menjadi individu seperti hari ini.



