
#ThrowbackXTRA: Pernah Jayakan Watak Pejuang Sarawak, Beto Kusyairy Kagum Pemikiran Rosli Dhoby Pada Usia 16 Tahun
By Aqilah Paharuzi | October 22, 2026, 4:14 PM
Bukan sekadar menghidupkan watak di layar kaca, pelakon berbakat besar, Beto Kusyairy mengakui pengalamannya membawakan karakter pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhoby, meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.
Menerusi segmen #ThrowbackXTRA, Beto mengimbau kembali penglibatannya dalam minisiri Warkah Terakhir: Rosli Dhoby yang menyaksikan dirinya membawa watak tokoh pejuang berkenaan.
Menurut Beto, watak tersebut bukan sahaja memberinya pengalaman berharga sebagai pelakon, malah membuka matanya tentang erti perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu demi masa depan bangsa.
Watak Rosli Dhoby, seorang pejuang Sarawak dalam minisiri Warkah Terakhir, mengajar saya untuk menghargai dan memikirkan apa yang akan jadi kepada bangsa serta rakyat pada masa akan datang tanpa perjuangan orang terdahulu.
Seawal usia 16 tahun, dia sudah memikirkan tentang generasinya. Perkara itu sangat memberi impak kepada saya.
Lebih menyentuh hati, Beto turut membandingkan kehidupannya sendiri ketika berusia 16 tahun dengan Rosli yang sudah mempunyai kesedaran tinggi mengenai masa depan bangsa dan kemerdekaan tanah air.
Pada umur saya 16 tahun, saya tak ada hala tuju. Tapi pada usia 16 tahun, dia sudah memikirkan tentang generasi akan datang, kemerdekaan dan sebagainya. Itu mesej paling besar bagi saya.
Perkongsian tersebut memperlihatkan bagaimana sesebuah watak bukan sekadar memberi peluang kepada pelakon untuk mempamerkan bakat, tetapi turut meninggalkan pengajaran bermakna dalam kehidupan mereka.
Sekadar info, Beto pernah membawakan watak Rosli Dhoby menerusi minisiri sejarah Warkah Terakhir: Rosli Dhoby yang ditayangkan di Astro Citra pada tahun 2009.
Naskhah berkenaan mengangkat kisah perjuangan tokoh muda Sarawak itu dalam menentang penjajahan British, sekali gus memperkenalkan sejarah perjuangannya kepada penonton.
Kredit foto: Elle Men Malaysia



