Diiktiraf Kerana Bakat Atau Populariti? Nam Ron & Jun Lojong Kupas Cabaran Pelakon Senior

Diiktiraf Kerana Bakat Atau Populariti? Nam Ron & Jun Lojong Kupas Cabaran Pelakon Senior

By Kamaruddin Razal | November 10, 2026, 9:44 AM

Bakat membuka pintu peluang, pengalaman mematangkan perjalanan, manakala pengiktirafan menjadi tanda penghargaan terhadap usaha seseorang anak seni.

Namun, di sebalik trofi dan pujian, timbul satu persoalan yang jarang dibincangkan. Adakah pengiktirafan benar-benar menjamin seseorang pelakon terus mendapat peluang untuk berkarya?

Persoalan ini menarik untuk dikupas susulan perkongsian pasangan pelakon berpengalaman, Nam Ron dan Jun Lojong yang masing-masing tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-38 (ABPBH 38).

Nam Ron bersaing bagi kategori Aktor Pembantu Filem Popular, manakala isterinya pula merebut gelaran Aktres Filem Popular.

Ketika ditemui XTRApedia pada majlis pengumuman calon ABPBH38 Sabtu lalu di Ombak KLCC, pasangan itu berkongsi pandangan mengenai realiti industri, khususnya cabaran mendapatkan tawaran lakonan meskipun seseorang pelakon memiliki pengalaman dan pengiktirafan.

Pengiktirafan bukan sesuatu yang asing buat pasangan ini. Nam Ron pernah merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Redha pada Festival FIlem Malaysia 29 (FFM 29), selain diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik FFM30 dan AIFFA 2019 menerusi One Two Jaga.

Jun pula pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di World Premieres Film Festival 2016 di Filipina menerusi Redha, sebelum membawa pulang trofi Pelakon Wanita Harapan FFM 29 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 31 menerusi Roh.

Namun, di sebalik deretan pengiktirafan itu, kedua-duanya mengakui perjalanan untuk terus mendapatkan peluang berkarya bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah.

Anugerah Tidak Semestinya Menjamin Tawaran

Bagi Jun, pengiktirafan bukan lagi menjadi keutamaan dalam perjalanan seninya memandangkan dia pernah merasai pengalaman menerima anugerah sebelum ini.

Sebaliknya, peluang untuk terus menghidupkan pelbagai karakter menjadi perkara yang lebih diharapkan, lebih-lebih lagi apabila tawaran lakonan dirasakan semakin berkurangan.

Masuk dalam industri ini nak berkarya, bukan untuk populariti atau anugerah. Apa yang penting saya harapkan adalah peluang berkarya.

Sebelum ini dah pernah merasa dapat anugerah pembantu, heroin dan anugerah terbaik. Tapi peluang itu kurang.

Menariknya, Nam Ron berpandangan kemenangan sesebuah anugerah terbaik kadangkala boleh menimbulkan persepsi tertentu dalam kalangan penerbit, khususnya berkaitan kadar bayaran pelakon.

Menurutnya, ada kemungkinan sesetengah pihak keberatan menawarkan pekerjaan kerana menganggap seseorang pemenang anugerah terbaik mempunyai permintaan bayaran lebih tinggi.

Bagaimanapun, pandangan itu merupakan pemerhatian peribadinya dan tidak semestinya menggambarkan amalan semua penerbit.

JunLojongNamron_3.jpg

Apabila Bakat Berdepan Ukuran Populariti

Dalam industri yang turut bergantung kepada faktor komersial, populariti seseorang pelakon tidak dapat dinafikan mempunyai pengaruh terhadap pertimbangan sesebuah produksi.

Jun sendiri berkongsi pengalaman apabila pernah menerima cadangan untuk membawakan satu watak dalam produksi televisyen, namun peluang berkenaan tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, dia dimaklumkan namanya tidak mendapat kelulusan pihak atasan atas alasan kurang popular.

Walaupun memahami pertimbangan perniagaan dalam industri penyiaran, pengalaman itu memperlihatkan cabaran yang mungkin dihadapi pelakon berpengalaman apabila bakat dan populariti dinilai daripada sudut berbeza.

Persoalannya, sejauh mana populariti perlu menjadi ukuran dalam menentukan kesesuaian seseorang pelakon membawakan watak?

Dalam hal ini, bakat, pengalaman dan kemampuan menarik penonton sebenarnya mempunyai peranan masing-masing. Namun, keseimbangan antara keperluan kreatif dan komersial tetap menjadi cabaran yang perlu diuruskan oleh pihak produksi.

Antara Kepuasan Seni & Kelangsungan Hidup

Sementara itu, Nam Ron turut mengakui pendekatannya dalam memilih tawaran lakonan sudah berubah seiring peningkatan usia.

Jika dahulu dia lebih berhati-hati menilai skrip, pengarah dan kualiti sesebuah karya, kini keutamaannya adalah memastikan kerjaya lakonan terus memberikan pendapatan.

Bagi saya kalau kita dah lama, dah senior, memilih itu dah jadi kedua. Maknanya kita pilih untuk kerja saja.

Kalau ada tawaran, kita rasa boleh buat, ada masa dan tak bertembung dengan tarikh lain, insya-Allah kita buat.

Perubahan itu bukan bermakna dia tidak lagi menghargai kualiti sesebuah karya, sebaliknya tuntutan kehidupan menjadikan peluang bekerja sebagai pertimbangan yang semakin penting.

Malah, Nam Ron secara terbuka mengakui mahu memanfaatkan masa yang masih ada untuk bekerja dan menyediakan simpanan bagi menghadapi hari tua.

Sekarang ini kita nak cari duit. Bila kita dah tak larat nak bekerja nanti, kita ada simpanan.

Dalam masa sama, Nam Ron tetap menggalakkan Jun supaya lebih teliti memilih naskhah yang bersesuaian dengan kemampuan dan perjalanan seninya.

JunLojongNamron_2.jpg

Pengiktirafan Ada Nilai, Tetapi Peluang Lebih Bermakna

Perkongsian Nam Ron dan Jun membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai kedudukan pelakon senior dalam industri hiburan tempatan.

Tidak dinafikan, populariti memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah karya mendapat perhatian. Namun, pengalaman dan kematangan lakonan juga merupakan aset yang tidak seharusnya dipandang ringan.

Kehadiran pelakon generasi baharu penting untuk menyegarkan industri, tetapi ruang untuk pelakon berpengalaman terus berkarya juga wajar diberikan perhatian.

Pada akhirnya, anugerah mungkin menjadi lambang penghargaan terhadap perjalanan seni seseorang pelakon. Namun, peluang untuk terus bekerja dan menghidupkan karakter baharu barangkali jauh lebih bermakna.

Kerana bagi seorang pelakon, pengiktirafan bukan sekadar namanya disebut di pentas anugerah, tetapi apabila bakatnya terus diberikan ruang untuk bercerita.

Dalam perkembangan lain, undian Top 10 ABPBH38 yang mengangkat tema Kitalah Bintang akan dibuka bermula 16 November hingga 6 Disember 2026 menerusi laman web rasmi www.abpbh.com.my.

Malam kemuncak ABPBH38 pula dijadualkan berlangsung pada 12 Disember 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, dengan siaran langsung menerusi TV3 dan aplikasi Tonton bermula jam 9 malam.

Dengan Nam Ron dan Jun Lojong sama-sama bersaing tahun ini, mampukah pasangan pelakon berpengalaman itu meraih sokongan peminat untuk membawa pulang trofi ABPBH38?

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Anugerah Tanpa Cahaya

Anugerah Tanpa Cahaya

Purina Felix Cat Fashion Week

Purina Felix Cat Fashion Week

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

Neraka Yang Terhijab

Neraka Yang Terhijab

Hilang Dalam Rindu

Hilang Dalam Rindu

BLEACH: Thousand-Year Blood War

BLEACH: Thousand-Year Blood War

Diiktiraf Kerana Bakat Atau Populariti? Nam Ron & Jun Lojong Kupas Cabaran Pelakon Senior | Article | XTRApedia