
#ThrowbackXTRA: 'Cara Dia Ajar Saya Sangat Pelik' - Aiman Hakim Ridza Dedah Pelakon Senior Ubah Perspektifnya Terhadap Dunia Lakonan
By Aqilah Paharuzi | October 29, 2026, 11:57 AM
Setiap pengalaman di set penggambaran pasti meninggalkan kenangan tersendiri, namun bagi pelakon Aiman Hakim Ridza, ada satu pengalaman yang bukan sahaja memberi ilmu baharu, malah mengubah sepenuhnya perspektifnya terhadap dunia lakonan.
Menariknya, pengalaman tersebut berlaku ketika Aiman membawakan watak sebagai seorang iblis dalam sebuah produksi yang menyaksikan dirinya berpeluang menimba ilmu daripada seorang pelakon senior.
Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Aiman mengimbau kembali detik bermakna sepanjang penggambaran tersebut yang disifatkan sebagai antara pengalaman paling berharga dalam perjalanan karier seninya.
Waktu itu saya memegang watak sebagai seorang iblis. Sepanjang penggambaran itu banyak benda yang saya belajar.
Bukan sebab jadi iblis, tetapi saya banyak belajar dengan seseorang yang mengubah landskap pemikiran saya dari segi lakonan.
Menurut Aiman, individu berkenaan merupakan seorang pelakon senior yang mempunyai pendekatan tersendiri dalam berkongsi ilmu, sehingga pada awalnya cara pengajaran tersebut dianggap agak luar biasa.
Bagaimanapun, semakin banyak masa diluangkan bersama, semakin besar ilmu dan pengajaran yang diperolehnya, khususnya dalam memahami sesebuah naskhah serta mendalami karakter yang dibawakan.
Individu itu ialah pelakon senior. Cara dia ajar saya sangat pelik, tapi sepanjang proses penggambaran itu saya duduk dengan dia dan banyak benda saya dapat belajar.
Daripada segi kematangan, skrip, pemahaman dan paling penting tentang ketenangan semasa berkarya. Yang itu bagi saya paling besar yang saya belajar.
Dalam pada itu, Aiman mengakui pengalaman berkenaan membuka matanya terhadap aspek seni lakonan yang sebelum ini tidak begitu disedarinya.
Malah, ilmu yang diperoleh bukan sekadar membantu meningkatkan kemahiran lakonannya, tetapi turut mengubah pendekatan dirinya ketika meneliti skrip dan memahami sesebuah karya.
Saya tak nampak perkara itu sebelum ini. Bila saya duduk dan belajar dengannya, itu adalah satu perkara yang mengubah cara saya melihat sebuah naskhah dan skrip.
Bersyukur berada dalam penggambaran tersebut sebab saya dapat bekerjasama dengan orang-orang yang sangat hebat, dapat ilmu yang mungkin saya tak dapat di luar sana.
Bagi Aiman, pengalaman tersebut membuktikan proses pembelajaran seorang pelakon tidak hanya terbatas kepada menghafal dialog atau menghayati watak, sebaliknya turut melibatkan kematangan pemikiran dan ketenangan dalam menghasilkan sesebuah karya.
Kadangkala, pengalaman paling berharga dalam dunia seni bukanlah watak yang dimainkan, tetapi insan yang ditemui sepanjang perjalanan menjayakannya.



