
#SkoolXTRA: Bukan Calang-Calang! Jazmy Juma Pernah Wakili Johor Dalam Sukan Ragbi
By Naufal Zarir | November 17, 2026, 10:15 PM
Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui oleh peminat.
Zaman persekolahan pastinya menyimpan pelbagai kenangan yang sukar dilupakan, termasuk pengalaman nakal bersama rakan-rakan.
Pelakon Jazmy Juma turut mempunyai cerita tersendiri apabila mengimbau kembali kehidupannya ketika bergelar pelajar, daripada perangai di dalam kelas sehinggalah penglibatannya dalam aktiviti sukan.
Menerusi segmen #SkoolXTRA kali ini, Jazmy berkongsi beberapa sisi kehidupannya yang mungkin tidak diketahui ramai, termasuk pengakuan pernah menjadi pelajar nakal, tidak pernah bercinta dengan rakan sekolah dan aktif dalam bidang sukan.

Duduk Di Barisan Hadapan, Tapi Tetap Nakal!
Walaupun sering memilih tempat duduk di bahagian hadapan kelas, Jazmy tidak menafikan dirinya pernah melakukan kenakalan ketika zaman persekolahan.
Namun, dia menjelaskan bahawa kenakalannya sekadar untuk bergurau dan menceriakan suasana bersama rakan-rakan, bukannya sehingga membuli individu lain.
Saya jenis yang duduk depan sekali, tapi saya nakal. Nakal sikit je. Tak adalah nakal membuli, nakal yang untuk gelak ketawa.
Tak Pernah Bercinta Dengan Rakan Sekolah!
Beralih kepada kisah percintaan, Jazmy mendedahkan bahawa dia tidak pernah menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana rakan sekolah sepanjang zaman persekolahannya.
Malah, perkara tersebut berterusan sehingga dia menamatkan persekolahan.
Saya tak pernah bercinta satu sekolah, daripada saya muda sampailah saya habis belajar.

Aktif Bersukan, Pernah Wakili Johor Dalam Ragbi!
Selain memberi tumpuan terhadap pelajaran, Jazmy juga aktif menyertai pelbagai jenis sukan seperti ragbi, bola sepak, sepak takraw dan bola tampar.
Namun, ragbi dan bola sepak merupakan dua sukan yang dianggap lebih serius olehnya ketika bergelar pelajar.
Saya main ragbi, main bola sepak, main takraw pun ada, bola tampar main seronok-seronoklah. Tapi kalau main ragbi dengan bola tu, a serious sport for me.
Lebih membanggakan, Jazmy pernah mewakili Johor dalam sukan ragbi, manakala penglibatannya dalam bola sepak pula berjaya membawanya sehingga ke peringkat daerah.



