
POV XTRA: Populariti Sahaja Tak Cukup? Yusuf Bahrin Percaya Bakat Perlu Diutamakan
By Naufal Zarir | November 16, 2026, 1:17 PM
Dalam industri hiburan, bakat dan populariti sering menjadi antara perkara yang dikaitkan dengan kejayaan seseorang selebriti. Ada yang dikenali kerana kemampuan mereka dalam bidang seni, namun tidak kurang juga yang meraih perhatian atas pelbagai sebab.
Persoalannya, antara bakat dan populariti, yang mana satu lebih penting untuk seseorang selebriti membina kerjaya dalam industri hiburan?
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA kali ini, pelakon Yusuf Bahrin berkongsi pandangannya mengenai kepentingan bakat dan populariti dalam industri hiburan. Baginya, kedua-duanya memainkan peranan penting, namun bakat perlu menjadi keutamaan sebelum seseorang mengejar populariti.
Bakat Dulu, Baru Populariti
Menurut Yusuf, bakat dan populariti merupakan dua perkara yang saling melengkapi dalam industri hiburan. Bagaimanapun, dia berpendapat bakat perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum seseorang mengejar populariti.
Dua-dua penting. Tapi bakat datang dulu baru populariti. Jika populariti melebihi bakat, susah sikit.
Jelas Yusuf, populariti boleh hadir atas pelbagai sebab, sama ada melalui perkara positif mahupun negatif.
Terkenal ada macam-macam sebab terkenal. Terkenal sebab benda jahat atau terkenal sebab benda yang baik. So kita nak terkenal yang macam mana?
Justeru, dia berpendapat seseorang perlu memastikan dirinya dikenali kerana perkara yang baik, bukannya semata-mata mengejar perhatian orang ramai.

Bakat Jadi Asas Dalam Kerjaya Seni
Mengulas lanjut, Yusuf menjelaskan bakat merupakan asas penting untuk seseorang membina kerjaya, khususnya dalam industri hiburan.
Macam kalau selebriti, dia terkenal dengan kerja dia, kerjaya dia, dengan bakat dia. Jadi, bakat penting untuk jadi asas kerjaya seni.
Baginya, seseorang perlu membuktikan kebolehan dan kemahiran yang dimiliki terlebih dahulu sebelum mendapat pengiktirafan daripada orang lain.
Malah, dia percaya seseorang selebriti seharusnya dikenali menerusi hasil kerja dan bakat yang ditonjolkan dalam industri.
Bakat & Populariti Saling Melengkapi
Tambah Yusuf, bakat dan populariti perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membina kerjaya seseorang selebriti.
Bagi saya, dalam industri hiburan ni, bakat menjadi keutamaan. Bakat dulu, and then baru populariti. Jadi, dua perkara ini complement each other, kena balance.
Walaupun bakat menjadi keutamaan, dia tidak menolak kepentingan populariti dalam industri hiburan masa kini.
Baginya, keseimbangan antara kedua-duanya penting agar seseorang selebriti bukan sahaja dikenali ramai, malah turut mendapat perhatian menerusi bakat dan kebolehan yang dimiliki.



