Bakat Baharu
Pernah Rasa Suara Tidak Didengari, Juddd Abadikan Pengalaman Menerusi Lagu 'Tak Penting'

Pernah Rasa Suara Tidak Didengari, Juddd Abadikan Pengalaman Menerusi Lagu 'Tak Penting'

By Kamaruddin Razal | November 17, 2026, 7:22 PM

Ada kalanya, perasaan yang sukar diluahkan melalui kata-kata lebih mudah disampaikan menerusi muzik. Daripada rasa tidak dipedulikan sehingga dipandang rendah, semuanya boleh menjadi inspirasi untuk menghasilkan sebuah karya.

Begitulah kisah di sebalik single Tak Penting nyanyian penyanyi baharu, Juddd, yang memilih untuk berkongsi pengalaman peribadinya menerusi lagu tersebut.

Menariknya, lagu yang turut menampilkan penyanyi dan penerbit muzik pyaniX itu sebenarnya sudah ditulis sejak 2023. Namun, Juddd hanya menemui kekuatan untuk melancarkannya pada tahun ini.

Lagu Tak Penting ini berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Saya pernah rasa seperti suara saya tidak didengari, tidak dipedulikan dan dipandang rendah.

Lagu ini sudah lama ditulis, sekitar tahun 2023. Akhirnya pada 2026, saya mendapat kekuatan untuk melancarkannya.

Bermula Sebagai Penulis Lagu

Mengimbas perjalanan awalnya, Juddd berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia muzik sekitar penghujung 2018 sebagai penulis lagu.

Setahun kemudian, dia mula memperoleh keyakinan untuk menghasilkan dan melancarkan single sendiri.

Bagaimanapun, Juddd hanya mengambil langkah lebih serius dalam bidang muzik pada 2022 apabila mula bergerak aktif bersama sebuah kumpulan rap yang dikenali sebagai ILL LIT.

Bercerita mengenai penghasilan Tak Penting, Juddd mendedahkan versi demo lagu tersebut sebenarnya disiapkan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga jam sahaja.

Selepas menyiapkan demo berkenaan, dia memperdengarkannya kepada pyaniX dan meminta bantuan untuk bahagian produksi.

Menariknya, pyaniX bukan sahaja bersetuju untuk membantu menghasilkan lagu tersebut, malah turut menyertainya sebagai artis undangan.

JUdd_1.jpg

Cabaran Daripada Belakang Ke Depan Tabir

Dalam pada itu, Juddd tidak menafikan perjalanan memperkenalkan diri sebagai penyanyi mempunyai cabaran tersendiri, terutama apabila sebelum ini dia lebih banyak terlibat dalam kerja di belakang tabir.

Menurutnya, bukan mudah untuk membina nama sebagai artis baharu, apatah lagi apabila perlu bersaing dengan penyanyi yang sudah lama bertapak dalam industri muzik.

Sebagai orang baharu yang sebelum ini lebih banyak terlibat di belakang tabir, agak sukar sebenarnya untuk saya berada di depan tabir dan bersaing dengan mereka yang sudah lama dalam industri.

Namun, kalau rezeki sudah tertulis dan ini jalan yang terbaik, saya hanya ikut sahaja perjalanan yang ditentukan.

JUdd_3.jpg

Tak Sangka Dapat Peluang Di Hot FM

Lebih menggembirakan, perjalanan lagu Tak Penting turut membuka peluang kepada Juddd untuk membuat penampilan menerusi HMO Show di Hot FM pada 14 November lalu.

Mengakui terkejut apabila menerima mesej jemputan, Juddd berkata, dia sememangnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap sambutan single tersebut.

Sewaktu mula-mula menerima mesej itu, saya memang terkejut dan tidak sangka. Sebab saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu ini.

Mungkin segala rezeki yang hadir ini memang sudah tertulis.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Juddd tidak menetapkan sasaran terlalu besar dalam kerjaya muzik dan lebih selesa mempercayai perjalanan serta peluang yang diberikan kepadanya.

Bagi Juddd, setiap peluang yang hadir tetap bermakna, lebih-lebih lagi selepas melalui perjalanan daripada seorang penulis lagu di belakang tabir kepada penyanyi yang kini mula memperkenalkan karya sendiri kepada pendengar.

Siapa sangka, sebuah lagu yang lahir daripada perasaan tidak didengari akhirnya membuka ruang untuk suaranya sampai kepada lebih ramai orang.

Single Tak Penting yang menampilkan pyaniX kini boleh didengarkan menerusi platform penstriman digital seperti Spotify. Karya ini menjadi antara langkah Juddd memperkenalkan muzik serta sisi peribadinya kepada pendengar.

Untuk mengikuti perkembangan muzik dan aktiviti terbaharu Juddd, ikuti akaun media sosial rasminya di Instagram, TikTok dan Threads menerusi @heyjuddd7.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Tertulis Kita Sampai Syurga

Tertulis Kita Sampai Syurga

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Kampung People

Kampung People

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Bread Barbershop (Season 1)

Bread Barbershop (Season 1)

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Bisik Asmara

Bisik Asmara

Racun Segumpal Hati

Racun Segumpal Hati

Please Excuse My Younger Brothers

Please Excuse My Younger Brothers

Pernah Rasa Suara Tidak Didengari, Juddd Abadikan Pengalaman Menerusi Lagu 'Tak Penting' | Article | XTRApedia