
Ulasan: Hampir 2 Dekad Berlalu, PGL The Musical Kembali Bersinar Di Tangan Generasi Baharu
By Kamaruddin Razal | November 2, 2026, 3:06 AM
Ada kisah yang tidak pernah benar-benar hilang ditelan zaman. Walaupun hampir dua dekad berlalu, legenda percintaan Hang Tuah dan Gusti Puteri Retno Dumilah masih mempunyai tempat tersendiri dalam dunia seni persembahan tanah air.
Kepulangan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) kali ini bukan sekadar mengembalikan nostalgia, tetapi turut membuka ruang kepada generasi pelakon baharu untuk memberikan interpretasi mereka terhadap watak-watak yang pernah meninggalkan kesan kepada penonton.
Berpeluang menyaksikan sesi full dress rehearsal baru-baru ini, XTRApedia melihat sendiri bagaimana produksi terbitan Enfiniti itu memberikan nafas baharu kepada karya yang sudah cukup sinonim dengan dunia teater muzikal Malaysia.
Di bawah sentuhan pengarahan Puan Sri Tiara Jacquelina, PGL The Musical berjaya mengimbangi keindahan penceritaan, kekuatan lakonan dan kehalusan visual pentas, sekali gus membuktikan kemampuannya menghidupkan kembali sebuah karya legenda tanpa menghilangkan jiwa asalnya.
Malah, antara perkara yang cukup dihargai ialah peluang diberikan kepada pihak media untuk menyaksikan kedua-dua barisan pelakon bagi watak yang dimainkan secara bergilir.
Pada bahagian pertama, penonton media disajikan dengan persembahan Aisha Retno dan Nadia Aqilah, sebelum berehat selama 15 minit.
Persembahan kemudian bersambung dengan Mila Mohsin dan Mimi Fly pada bahagian kedua.
Pendekatan ini membolehkan pihak media melihat sendiri keunikan setiap pelakon dalam menghidupkan karakter masing-masing, sesuatu yang jarang dapat dinikmati dalam satu sesi pratonton.
Aisha & Mila, Dua Interpretasi Gusti Puteri
Antara yang mencuri perhatian tentunya Aisha Retno yang menggalas watak Gusti Puteri Retno Dumilah.
Tidak dinafikan, pemilihannya sebelum ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan sesetengah pihak, terutama apabila mengambil kira pengalaman lakonannya yang masih terhad.

Namun, menerusi persembahan yang dipertontonkan, Aisha membuktikan dirinya bukan sekadar memiliki kelebihan vokal, tetapi juga berupaya menggalas tanggungjawab sebagai pelakon teater muzikal.
Penghayatan, ekspresi dan penyampaiannya memberikan keyakinan terhadap kemampuan penyanyi itu untuk terus meneroka dunia lakonan pentas.
Mungkin masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan besar tentang perjalanan lakonannya, namun persembahan tersebut sudah cukup menjadi permulaan yang baik buat Aisha.
Begitu juga dengan Mila Mohsin yang membawa watak sama pada bahagian kedua.
Sebagai anak kepada Puan Sri Tiara Jacquelina, perbandingan dengan ibunya yang pernah menghidupkan watak ikonik itu mungkin sesuatu yang sukar dielakkan.
Namun, Mila memperlihatkan usaha untuk membawa Gusti Puteri mengikut pendekatan tersendiri.

Pembawaannya tenang, manakala penghayatan wataknya memberikan sisi berbeza kepada karakter berkenaan.
Walaupun bayangan Tiara mungkin masih dekat dengan persepsi penonton, Mila membuktikan dia juga mempunyai kemampuan untuk berdiri atas kekuatan sendiri.
Bagi bakat baharu, persembahan ini merupakan satu pencapaian yang wajar diberikan perhatian.
Aqasha Meyakinkan, Nadia & Mimi Ada Kekuatan Tersendiri
Sementara itu, Aqasha sebagai Hang Tuah turut memberikan persembahan yang meyakinkan.
Aura pentas, kekuatan suara dan kemampuan nyanyiannya saling melengkapi dalam membentuk karakter seorang pahlawan yang bukan sahaja tegas, tetapi turut berdepan konflik perasaan.

Aqasha mempunyai kehadiran pentas yang membantu menghidupkan watak Hang Tuah, terutama apabila penceritaan menuntut keseimbangan antara cinta dengan tanggungjawab.
Bagi watak Bayan pula, Nadia Aqilah dan Mimi Fly tampil dengan kekuatan masing-masing.

Nadia Aqilah yang muncul pada bahagian pertama, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dari segi kemampuan lakonannya.
Penguasaan emosi, kekuatan vokal dan caranya menyampaikan kesedihan serta rintihan watak menjadikan persembahannya antara yang meninggalkan kesan.
Nadia tahu bagaimana untuk membawa penonton memahami perasaan karakternya tanpa perlu bergantung pada dialog semata-mata.
Mimi Fly pula muncul pada bahagian kedua dengan pendekatan tersendiri.
Walaupun bahagian tersebut tidak banyak memberikan ruang untuk melihat keseluruhan perjalanan watak Bayan, kehadiran Mimi tetap dapat dirasai.

Sebagai seorang penghibur yang sudah biasa dengan pentas, Mimi mempunyai aura dan keyakinan yang membantu memberikan identiti tersendiri kepada persembahannya.
Kedua-duanya membuktikan watak yang sama boleh dihidupkan melalui pendekatan berbeza tanpa menghilangkan kekuatan karakter asal.
Tidak ketinggalan, Luqman Hafidz turut memperlihatkan kemampuan yang baik dalam membawa watak Sultan Melaka.

Yusof Hashim pula antara pelakon lelaki yang wajar diberikan perhatian, khususnya menerusi bakat lakonan dan keupayaannya memberikan penghayatan kepada karakter yang dibawakan.
Legenda Lama Dengan Sentuhan Baharu
Selain barisan pelakon, kekuatan PGL The Musical turut terletak pada usaha produksi menggabungkan elemen tradisional dengan pendekatan persembahan masa kini.
Rekaan pentas, kostum, pencahayaan serta susunan muzik membantu menghidupkan suasana penceritaan yang berlatarkan dunia istana dan legenda Melayu.
Gabungan nyanyian, lakonan dan koreografi pula menjadikan perjalanan cerita lebih menarik untuk diikuti, terutama bagi penonton yang mungkin pertama kali mengenali karya tersebut.

Apa yang menarik, pembaharuan ini tidak menghilangkan identiti asal PGL The Musical.
Kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan masih menjadi tunjang penceritaan, namun diberikan kehidupan baharu menerusi generasi pelakon yang berbeza.
PGL The Musical dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Secara keseluruhan, berdasarkan sesi latihan penuh yang dipertontonkan, kepulangan PGL The Musical memperlihatkan usaha produksi yang baik dalam memastikan sebuah karya penting teater muzikal Malaysia terus mendapat tempat.
Lebih menarik, peluang yang diberikan kepada bakat baharu untuk menggalas watak ikonik juga memperlihatkan kesinambungan dunia teater tempatan yang wajar diraikan.
Kerana akhirnya, sebuah legenda tidak semestinya perlu kekal dalam bentuk yang sama untuk terus dikenang.
Ada kalanya, ia hanya memerlukan generasi baharu untuk menghidupkannya kembali dengan cara mereka sendiri.



