Bila Minat Bertukar Obsesi, Adakah Privasi Artis Semakin Terancam?

Bila Minat Bertukar Obsesi, Adakah Privasi Artis Semakin Terancam?

By Kamaruddin Razal | November 10, 2026, 7:59 AM

Peminat menjadi antara kekuatan terbesar di sebalik perjalanan seseorang artis. Sokongan mereka bukan sahaja membantu menaikkan populariti, malah menjadi penyuntik semangat untuk terus berkarya.

Namun, di sebalik rasa sayang dan kekaguman itu, timbul satu persoalan. Sejauh mana seseorang peminat boleh mendekati artis kesayangan mereka sebelum keterujaan itu mula melangkaui batas?

Isu ini kembali menjadi perhatian selepas penyanyi remaja, Auddra Zulkifli atau Odda, mengakui sedikit trauma susulan insiden seorang peminat lelaki yang didakwa bertindak agresif ketika mendekatinya di sebuah acara, baru-baru ini.

Obsesi_1.jpg

Menurut laporan OhBulan!, pengalaman tersebut membuatkan penyanyi berusia 17 tahun itu lebih berhati-hati ketika berinteraksi dengan peminat, selain berharap mereka memahami kepentingan menjaga batas dan keselesaan artis.

Sebelum ini, pelakon Zarif Ghazzi turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila segelintir peminat bertindak terlalu jauh sehingga menghubungi ibunya secara peribadi melalui WhatsApp.

Zarif_Ghazzi3.jpg

Zarif menerusi laporan XTRA pada Januari lalu menegaskan, meskipun menghargai sokongan peminat, kehidupan peribadi dan keluarganya tetap perlu dihormati.

Apabila Rasa Dekat Disalah Erti

Tidak dinafikan, media sosial kini menjadikan hubungan antara artis dan peminat semakin dekat. Perkongsian rutin harian, sesi siaran langsung dan interaksi di ruangan komen membuatkan peminat berasa seolah-olah mengenali seseorang selebriti secara peribadi.

Bagaimanapun, rasa dekat itu tidak semestinya memberikan kebebasan untuk memasuki setiap ruang kehidupan artis.

Obsesi_2.jpg

Dalam masa sama, tidak semua peminat yang terlalu teruja mempunyai niat buruk. Ada yang sekadar mahu bergambar, menyapa atau menunjukkan penghargaan kepada individu yang mereka kagumi.

Namun, apabila permintaan ditolak, keputusan itu seharusnya dihormati. Apatah lagi jika tindakan seseorang mula melibatkan sentuhan tanpa izin, gangguan berulang atau privasi ahli keluarga.

Artis Juga Manusia Biasa

Menjadi figura awam tidak bermakna seseorang perlu sentiasa bersedia melayan setiap permintaan, terutama ketika berada di luar urusan kerja.

Artis juga mempunyai hak untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan menentukan batas keselesaan diri sendiri.

Obsesi_4.jpg

Pada akhirnya, hubungan antara artis dan peminat sepatutnya dibina atas rasa saling menghormati. Sokongan yang ikhlas tidak perlu dibuktikan dengan sejauh mana seseorang boleh mendekati idolanya.

Kerana ada kalanya, cara terbaik menghargai seseorang yang kita minati bukan dengan mendekatinya, tetapi dengan memahami ruang yang ingin dijaganya.

Baca Juga Artikel Lain

Top Minggu Ini

Sihir Isteri

Sihir Isteri

Kisah Cinta Kita

Kisah Cinta Kita

Sepenuh Hati Rindu

Sepenuh Hati Rindu

Anugerah Tanpa Cahaya

Anugerah Tanpa Cahaya

Purina Felix Cat Fashion Week

Purina Felix Cat Fashion Week

Hanya Untuk Dia

Hanya Untuk Dia

Bread Barbershop (Season 2)

Bread Barbershop (Season 2)

Neraka Yang Terhijab

Neraka Yang Terhijab

Hilang Dalam Rindu

Hilang Dalam Rindu

BLEACH: Thousand-Year Blood War

BLEACH: Thousand-Year Blood War

Bila Minat Bertukar Obsesi, Adakah Privasi Artis Semakin Terancam? | Article | XTRApedia