
#ThrowbackXTRA: Pernah Dibayar RM200 Untuk Lapan Video, Sharmaine Alexander Kenang Perjalanan Awal Sebagai Content Creator
By Naufal Zarir | November 18, 2026, 11:51 PM
Setiap perjalanan untuk membina nama dalam industri hiburan pastinya mempunyai cabaran tersendiri, lebih-lebih lagi apabila seseorang masih baharu dalam bidang tersebut.
Begitu juga dengan pelakon dan pencipta kandungan digital, Sharmaine Alexander yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai pengalaman sepanjang memulakan kerjayanya sebagai content creator.
Menerusi segmen #ThrowbackXTRA kali ini, Sharmaine mengimbas kembali cabaran yang pernah dilaluinya, termasuk menerima bayaran rendah untuk menghasilkan kandungan serta berdepan jumlah tontonan yang kurang memberangsangkan sehingga hampir membuatkannya berputus asa.

Pernah Dibayar RM200 Untuk Lapan Video
Mengimbas kembali pengalaman awal sebagai content creator pada 2022, Sharmaine mendedahkan pernah menerima tawaran menghasilkan lapan video dengan bayaran hanya RM200.
Bagaimanapun, dia tidak menganggap tawaran tersebut sebagai sesuatu yang membebankan ketika itu kerana masih baharu dalam bidang berkenaan dan berasa gembira apabila ada pihak yang sudi membayarnya untuk menghasilkan kandungan.
Dia suruh saya buat lapan video, dia bayar RM200 je. Masa tu baru mula-mula kita nak berjinak dalam content creating, so ada orang yang nak bayar, kita macam happy dah.
Malah, Sharmaine turut berkongsi yang dia hanya menyedari nilai sebenar tawaran tersebut selepas seorang rakannya memberitahu RM200 sepatutnya merupakan bayaran untuk satu video, bukannya lapan video.
Jumlah Tontonan Rendah Pernah Buat Hampir Putus Asa
Selain berdepan tawaran kerja yang kurang berbaloi, Sharmaine mengakui jumlah tontonan yang rendah turut menjadi antara cabaran paling sukar ketika membina nama sebagai content creator.
Menurutnya, situasi tersebut boleh membuatkan seseorang hilang semangat dan terfikir untuk berhenti menghasilkan kandungan.
Namun, dia percaya konsistensi merupakan perkara paling penting dan seseorang tidak sepatutnya terlalu memikirkan jumlah tontonan pada peringkat awal.
Tapi bila kita konsisten, jangan tengok dulu views tu, we will make it someday. Kita kena konsisten.

Pegang Prinsip Terus Menghasilkan Kandungan
Dalam pada itu, Sharmaine turut berkongsi kata-kata yang menjadi pegangannya ketika berusaha mengembangkan kerjaya sebagai pencipta kandungan digital.
Baginya, seseorang perlu memperbanyakkan hasil kerja dan terus menghasilkan kandungan tanpa terlalu memikirkan kejayaan yang belum tiba.
Saya suka satu kata-kata ni: increase your volume and increase the volume of your work, and it is unreasonable for you to not succeed. Saya percaya itu, kita buat banyak-banyak benda.
Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan awal Sharmaine dalam membina kerjaya sebagai pencipta kandungan digital, selain mengajarnya untuk terus konsisten meskipun berdepan pelbagai cabaran.



